Kemalangan membabitkan penunggang motosikal berkuasa tinggi (gambar kecil) di Kilometer 303 Leburaya PLUS arah Utara berhampiran Gua Tempurung, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Kemalangan membabitkan penunggang motosikal berkuasa tinggi (gambar kecil) di Kilometer 303 Leburaya PLUS arah Utara berhampiran Gua Tempurung, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Oleh Asrizal Aris


Gopeng : Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang merempuh belakang kereta Nissan Sentra menyebabkannya tercampak di tengah jalan lalu digilis beberapa kenderaan di Kilometer 303 Leburaya PLUS arah Utara berhampiran Gua Tempurung, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 3.15 pagi itu, mangsa, Zainal Abidin Omar, 43, bersama anak lelakinya, 16, menunggang motosikal Benelli TnT 600 dalam perjalanan ke Kamunting, Taiping untuk menziarahi bapanya yang sakit.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Jasni, 43, berkata, dia memandu lori berada di belakang mangsa melihat sendiri mangsa melanggar belakang kereta lalu tercampak di atas jalan.

"Saya sempat mengelak, lalu berhenti di tepi jalan. Kemudian saya menarik anak mangsa ke tepi jalan tetapi tidak sempat menyelamatkan bapanya yang digilis berkali-kali di depan mata kami.

"Saya cuba menahan kenderaan yang lalu di situ tetapi keadaan jalan yang turun bukit membuatkan semua kenderaan terus menggilis mangsa," katanya.

Menurutnya, keadaan menjadi kelam kabut sehingga membabitkan beberapa kenderaan lain terbabit dalam kemalangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa yang datang dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh merempuh belakang sebelah kiri kereta di lorong kiri jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 2:23 PM