PELATIH kemahiran didedahkan dengan pelbagai aspek ketika menjalani latihan.
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan kurang cemerlang atau tidak berminat dalam jurusan akademik, kini tidak perlu khuatir kerana tanpa kelulusan akademik mereka masih mampu memperoleh pendapatan lumayan dengan kursus kemahiran.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr Pang Chau Leong berkata, ibu bapa di negara ini perlu mengubah persepsi mereka mengenai bidang kemahiran.

Menurutnya, bidang kemahiran kini sudah bertaraf kelas dunia dan ibu bapa sepatutnya tidak terkongkong dengan pemikiran lama yang mahu menjadikan anak mereka doktor, guru dan peguam.

“Sebagai ibu bapa, perlu membiarkan anak memilih bidang yang mereka minati terutama pelajar yang tidak meminati bidang akademik.

“Kerajaan menggalakkan pelajar lepasan SPM untuk meneruskan pelajaran dalam bidang kemahiran, malah peluang kerja juga lebih luas berbanding graduan akademik,” katanya ketika temu bual di Bermaz Motor Sdn Bhd (BMSB), Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Dr Pang memuji inisiatif Bermaz yang mewujudkan pusat latihan kemahiran kepada lepasan SPM untuk belajar kemahiran serta teknikal kenderaan keluaran Mazda.

Pengarah Urusan BMSB Datuk Sri Ben Yeoh Choon San berkata, pusat kemahiran berkenaan menawarkan tiga program iaitu Program Pelatih Mazda (MAP), Pusat Pengajian Kejuruteraan Automotive dan Pengurusan (SAEM) serta Program Mekanik Mazda (MMP).

“Kami memberi peluang kepada individu yang tidak mempunyai keputusan SPM tidak membanggakan untuk mengikuti kursus kemahiran di sini.

“Malah, kami juga menyediakan elaun dan tidak mengenakan sebarang yuran kepada mereka.

“Selepas menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan, mereka menerima sijil mengikut kursus diikuti dan akan diraikan dalam majlis konvokesyen seperti di institusi lain,” katanya.

Mereka yang berjaya menghabiskan pengajian, secara automatik akan diambil bekerja dengan syarikat Mazda dan jika bernasib baik ditawarkan berkerja di luar negara.

“Mereka yang lahir daripada kursus ini adalah ‘pakar Mazda’ dan itu adalah satu penghormatan kepada mereka. Kami di sini sangat menggalakkan anak muda untuk menceburi bidang kemahiran terutama di pusat latihan kami kerana terdapat kelebihan dan kemudahan disediakan.

“Di pusat latihan ini, kami bukan hanya mendidik mereka supaya mahir selok-belok teknikal kenderaan, malah mementingkan modal insan serta penguasaan bahasa Inggeris.

“Bagi menggalakkan kedatangan dan sebagai tanda sokongan, sarapan dan makan tengah hari akan diberikan kepada pelatih sepanjang latihan,” katanya.

Pelatih perempuan pertama di pusat latihan berkenaan, Nor Shakila Mohamad Zailaini, 23, berkata, dia mendapat tahu mengenai pusat latihan itu daripada akhbar dan mengambil keputusan menyertainya.

“Program ditawarkan sangat bagus dan memberi faedah.

“Malah, ibu bapa juga sangat menggalakkan saya untuk menyertai program latihan ini kerana memberi peluang pekerjaan yang cerah.

“Kebanyakan wanita tidak mempunyai pengetahuan berkenaan teknikal kenderaan dan sering ditipu. Dengan kemahiran dan pengetahuan sepanjang belajar di sini akan membantu saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:06 AM