KANAK-kanak cenderung mengambil makanan manis.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Di Malaysia, diet sering dikaitkan dengan penyakit kronik, lazimnya yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Jumlah penghidap penyakit ini semakin meningkat sejak beberapa dekad yang lalu. Serangan jantung dan strok antara lima punca utama penyakit yang membawa kematian.

Nisbah seorang daripada lima rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis, begitu juga jumlah pesakit diabetes meningkat dua kali ganda daripada 1.5 juta pada 2006 kepada 3 juta pada 2011.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pembangunan ekonomi yang pesat dalam tempoh 20 tahun membawa perubahan ketara dalam gaya hidup rakyat Malaysia.

Katanya, perubahan gaya hidup ketara terutama dalam corak pemakanan seperti peningkatan dalam pengambilan makanan berlemak, makanan berminyak dan karbohidrat ditapis seperti roti putih, beras putih dan gula.

“Merujuk beberapa statistik membabitkan amalan pemakanan ini, seorang daripada empat kanak-kanak sekolah di Malaysia mengalami berat badan secara berlebihan atau obes.

“Malaysia menduduki negara yang mempunyai rakyat paling gemuk di Asia Tenggara dan negara yang keenam di rantau Asia Pasifik selain menduduki tempat keenam di Asia dan ke-17 di dunia bagi penduduk yang mengalami kencing manis,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Hak-hak Pengguna baru-baru ini.

Faktor yang membawa kepada risiko penyakit obesiti antaranya kecenderu­ngan ibu bapa memberikan makanan segera kepada anak dan makanan yang mengandungi gula yang tinggi manakala kantin sekolah turut menjual makanan yang tidak sihat seperti sosej, nuget dan makanan ringan.

Beliau berkata, amalan kerap makan di luar salah satu faktor risiko utama rakyat Malaysia berterusan mengambil makanan berminyak, gula yang tinggi dan garam berlebihan.

Peningkatan pengeluaran makanan yang diproses, pembangunan yang pesat dan perubahan gaya hidup mengubah corak pemakanan rakyat Malaysia. Makanan diproses semakin meningkat di pasaran, mudah diperoleh dan harganya lebih murah.

Katanya, boleh dikatakan hampir seluruh penduduk dunia kini mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan garam secara kerap akan meningkatkan risiko mendapat tekanan darah tinggi (hipertensi).

Tekanan darah tinggi penyebab utama kepada penyakit kardiovaskular, 60 peratus risiko mendapat angin ahmar dan 50 peratus punca penyakit hati.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO ) dan Panduan Diet Malaysia menyarankan pengambilan garam tidak melebihi satu sudu teh atau 5mg sehari yang bersamaan dengan 2,000 mg natrium sehari. Bagaimanapun, kajian terhadap Pe­ngambilan Makanan dalam kalangan Dewasa Malaysia pada 2002/2003 mendapati pengambilan natrium dalam kalangan orang dewasa menunjukkan 2,575 mg sehari atau 28 peratus lebih tinggi daripada pengambilan yang disyorkan .

“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III (2006) pula mendapati 43 peratus golongan dewasa Malaysia menghidap penyakit tekanan darah tinggi akibat pengambilan garam yang tinggi,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kebanyakan diet makanan pada hari ini mengandungi gula yang tinggi disebabkan penggunaannya yang berlebihan dalam makanan diproses yang popular. Penggunaan gula secara berlebihan merupakan faktor risiko utama yang menyebabkan obesiti. Gula adalah pe­nyumbang kepada peningkatan kalori secara berlebihan dalam tubuh badan.

Kalori yang terdapat dalam produk makanan yang mengandungi gula yang tinggi boleh meningkatkan berat badan dan makanan yang mempunyai gula yang tinggi turut menjadi penyebab utama diabetes tahap dua dan dikatakan membawa peningkatan kadar penyakit jantung.

Katanya, pada 1970-an, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 17 sudu teh gula sehari dan angka ini meningkat kepada 21 sudu teh sehari pada 1980-an. Pada 1990-an pula, rakyat Malaysia menggunakan secara purata 24 sudu teh gula sehari, tetapi kini angka itu meningkat kepada 26 sudu teh sehari.

Gula juga dikaitkan dengan lebih 60 penyakit, antaranya kanser, kencing manis, obesiti, masalah jantung, osteoprosis, masalah buah pinggang, asma dan alahan. Sebahagian daripada penyakit yang boleh membunuh ini menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan dalam tempoh beberapa tahun.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, 11.6 juta daripada 16 juta orang dewasa di seluruh negara menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD), seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau kanser.

Malaysia adalah negara yang mempunyai penduduk yang paling ramai mengalami masalah berat badan berlebihan dan obes di Asia. Kira-kira 54 peratus daripada orang dewasa adalah obes atau mengalami berat badan berlebihan, berbanding hanya 24.1 peratus pada 10 tahun lalu. Dengan itu, nisbah tujuh daripada 10 orang dewasa di Malaysia menghidap penyakit kronik.

“Hal ini disokong oleh kenyataan Institut Diabetes Antarabangsa yang menyatakan bahawa Malaysia mencatat tangga keempat tertinggi bagi jumlah penghidap kencing manis di Asia manakala 800,000 penduduk dilaporkan menghidap sakit kencing manis pada 2007,” katanya.

Beliau berkata, diet yang tidak sihat adalah faktor risiko utama yang menyebabkan NCD seperti penyakit kardiovaskular, kanser, kencing manis dan dikaitkan dengan obesiti. Corak pemakanan rakyat di seluruh dunia suda berubah. Pengguna semakin kurang menggunakan bahan mentah untuk menyediakan makanan sebaliknya lebih suka membeli makanan diproses dan makanan yang dibungkus.

Katanya, sejak sedekad lalu, penjualan makanan terhadap produk makanan yang dibungkus meningkat lebih 92 peratus dan mencecah AS$2.2 trilion pada 2012.

Bagi pengguna yang ingin membeli makanan dibungkus disarankan supaya membuat pilihan pemakanan yang tepat. Mereka perlu bijak dalam mengenal pasti makanan yang mengandungi lemak, garam dan gula yang tinggi. Buat pilihan makanan daripada pelbagai produk makanan yang dibungkus berdasarkan maklumat khasiat yang terdapat pada bungkusan makanan terbabit.

FOMCA menggesa supaya pelabelan pemakanan yang terdapat pada bungkusan makanan perlu dapat membantu pengguna menilai nutrisi produk makanan dengan cepat dan mudah serta mencegah daripada penyakit berkaitan pemakanan berdasarkan pilihan makanan yang sihat.

Selain itu katanya, kualiti makanan yang disediakan di sekolah boleh memberi kesan yang besar kepada tahap kesihatan dan perkembangan kanak-kanak.

Oleh itu, untuk memastikan diet yang lebih baik kepada pelajar sekolah, FOMCA menyokong kawalan terhadap pengiklanan, promosi dan penajaan yang disasarkan kepada kanak-kanak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada promosi produk makanan dan minuman yang tidak sihat.

FOMCA juga menyokong amalan pengambilan nutrisi dan penyediaan makanan berasaskan standard untuk operasi penyediaan makanan di sekolah.

Menurutnya, di peringkat antarabangsa, Consumer International ( CI ) menggesa satu Konvensyen Global bagi Melindungi dan Menggalakkan Pemakanan Sihat. CI juga menjalankan kempen media sosial yang dikenali sebagai “Thunderclap” untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap keperluan kepada makanan dalam perjanjian global.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:11 AM