NAJIB (kiri) memerhati gelagat Vettel meraikan kejayaan.
NAJIB (kiri) memerhati gelagat Vettel meraikan kejayaan.

Sepang: Lewis Hamilton menegaskan PETRONAS Mercedes AMG perlu segera mencari kelemahan mereka pada saingan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) semalam yang menyaksikan dia sekadar menaiki podium kedua, tewas kepada Sebastian Vettel dari Ferrari.

Kata juara dunia tahun lalu itu, Mercedes pada asasnya masih pantas, namun mereka perlu segera mengatasi segala kelemahan untuk terus mendominasi perlumbaan pada saingan selepas ini.

“Pertama sekali, tahniah kepada Vettel serta Ferrari yang muncul juara di sini.

“Dengan kemenangan mereka, bermakna kami perlu bekerja keras mencari formula terbaik untuk terus kekal konsisten.

“Apapun, hari ini setiap anggota pasukan masih cemerlang kerana kedua-dua jentera berjaya menamatkan perlumbaan dengan kedudukan podium,” katanya.

Jelas Hamilton, dia sendiri tidak menjangkakan Ferrari begitu pantas dan mampu menyaingi Mercedes.

“Saya sendiri agak bergelut pada awal perlumbaan iaitu selepas melakukan hentian pit pertama.

“Saya cuba untuk mengejar Vettel tetapi ternyata dia begitu konsisten pada setiap pusingan,” katanya.

Sementara itu, rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg tetap berpuas hati dengan podium ketiga meskipun dia sedar mampu meraih keputusan lebih baik.

“Agak terlambat untuk saya kembali bersaing dengan Hamilton serta Vettel. Tapi keputusan ini sudah cukup bagus dan kami akan berusaha untuk bangkit pada pusingan seterusnya di China,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:12 AM