Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) membuat pusingan U apabila menangguhkan hasrat menandatangani kontrak pemain import Timor Leste Jaime Braganca yang gagal mempamerkan aksi meyakinkan dalam perlawanan persahabatan dan latihan.

Setiausaha Agung PBSNT Arpin Draman berkata, hasil perbincangan dengan jurulatih dan pihak pengurusan, kontrak Braganca tidak akan ditandatangani dalam masa terdekat ini.

“Sebelum ini dalam mesyuarat pengurusan PBSNT, kami setuju mengikat pemain kelahiran Portugal itu. Tapi, selepas aksi buruk diperagakan, kami akan menilai semula kewajaran mendapatkan khidmatnya.

“Jurulatih Abdul Rahman Ibrahim serta pihak pengurusan akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

“Jika dia tidak mampu beraksi dengan baik dalam dua hingga tiga hari lagi, sudah pasti kami terpaksa melupakannya dan mencari pemain lain,” katanya.

Arpin berkata, bagi memastikan pemilihan pemain benar-benar berkualiti, Terengganu menguji pemain dari Jepun semalam.

“Jika pemain Jepun itu mampu menarik perhatian, dia yang mampu beraksi di posisi tengah dan penyerang akan menjadi pemain import keempat Terengganu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:34 AM