Miami, AS: Fernando Verdasco (gambar) mengejutkan pilihan kedua Rafael Nadal 6-4, 2-6, 6-3 dalam pertembungan dua pemain Sepanyol pada pusingan ketiga kejohanan Terbuka Miami ATP dan WTA.

Nadal, naib juara empat kali di Miami, meninggalkan kejohanan permukaan keras Siri Masters itu tanpa kejuaraan sekali lagi tahun ini pada penampilan ke-11.

Verdasco, pemain ranking ke-34, menundukkan Nadal kali kedua berturut-turut selepas kalah 13 pertembungan awal mereka, sekalipun pertemuan terakhir hadir tiga tahun lalu di Madrid.

“Sudah tentu mengalahkan pemain seperti Rafa satu daripada kejayaan terbesar dalam sukan tenis,” kata Verdasco. “Ia kemenangan besar dan memang seronok beraksi dalam stadium hampir penuh menentang seorang daripada pemain terbaik dalam sejarah.”

Turut mara semalam pemain nombor satu dunia Serena Williams dan pemain Britain, Andy Murray.

Murray memenangi perlawanan ke-499 kariernya apabila menyingkirkan pemain Colombia, Santiago Giraldo 6-3, 6-4 untuk mara ke pusingan keempat.

Pemain Scotland berusia 27 tahun itu, juara 2009 dan 2013, akan muncul pemain aktif kesembilan meraih 500 kemenangan jika menang aksi menentang pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson, yang mengetepikan pemain Argentina, Leonardo Mayer 6-4, 6-4.

“Saya memang mahu cuba menang lebih banyak lagi dan harapnya masih mempunyai peluang untuk menambah jumlah itu. Tidak mudah untuk menang terlalu banyak perlawanan dan ia satu petanda baik,” jelas Murray.

Pada aksi wanita, Serena mengatasi pemain separuh usianya apabila membelasah pemain Amerika Syarikat, Catherine Bellis 6-1, 6-1. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:42 AM