Jakarta: Sembilan orang mati di bandar Prabumulih di Sumatera selepas meminum arak tercemar yang dicampur dengan ubat nyamuk, kata polis semalam.

Kematian itu kejadian terbaru berkait dengan arak tercemar di Indonesia.

Jurucakap polis Djarod Padakova berkata, semua mangsa membeli arak di tepi jalan di Prabumulih pada Khamis lalu dan dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit.

“Mangsa pertama meninggal dunia pada Jumaat dan korban kesembilan mati pada Ahad lalu,” katanya yang memberitahu mangsa ke-10 terselamat.

Djarod berkata, arak itu dicampur dengan ubat nyamuk dan minuman tenaga.

Laporan media memberitahu bahawa arak berkenaan dihasilkan secara haram.

Pada tahun lalu, seramai 16 orang mati selepas mengambil arak yang tercemar ketika menyambut tahun baru di Jawa.

Penduduk bukan beragama Islam di Indonesia sering memilih untuk mengambil arak yang dibuat secara haram kerana harganya yang murah berbanding minuman keras yang dihasilkan syarikat berlesen. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 10:06 AM