Imej pelakon Irrfan Khan dalam filem terbarunya Jazbaa akan dibentuk seiras watak yang pernah dibawakan Sanjay Dutt dalam filem Aatish.

Difahamkan produser filem berkenaan, Sanjay Gupta gembira kerana walaupun Irrfan pelakon yang dihormati dan lakonannya sentiasa dipuji, tetapi dia adalah pelakon yang mendengar kata.

Menurut sumber, rakan kongsi Gupta iaitu Saachiin Joshi yang mahukan Irrfan kelihatan seperti watak Sanjay Dutt dalam filem Aatish itu.

Gupta juga sangat teruja kerana filem terbaru terbitannya itu berjaya menyatukan tiga pelakon handalan seperti Irrfan, Aishwarya Rai dan Shabana Azmi.

“Mereka adalah individu hebat di Bollywood dan amat sukar untuk menafikan bakat lakonan mereka.

“Peminat juga sudah tidak sabar untuk menyaksikan Aishwarya muncul semula di layar lebar dan saya berharap Jazbaa dapat mengubat kerinduan mereka terhadap­nya,” katanya.

Sementara itu, Sachiin berkata, apabila Gupta memberitahunya jalan cerita Jazbaa, dia dapat merasakan watak yang akan dilakonkan Irrfan itu hampir sama dengan watak Sanjay Dutt dalam filem Aatish.

“Saya yakin penonton tidak akan keliru dengan kedua-dua watak itu kerana Irrfan adalah pelakon yang sangat bagus dan pastinya dia dapat memberikan yang terbaik,” katanya.

Filem Jazbaa adalah terbitan bersama Essel Vision Productions Ltd, White Feather Films dan Viiking Entertainment. Ia akan ditayangkan pada 9 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 10:37 AM