Sharifah Fara Ryyana (kiri) dan Sharifah Fara Difla (kanan) mendakwa cedera di muka ditumbuk pemandu teksi selepas kereta mereka dilanggar teksi sehingga video kejadian itu menjadi ‘viral’ hari ini. FOTO ihsan pembaca
Oleh Mohd Hasbi Sidek


Shah Alam: Video ‘viral’ membabitkan aksi dan perang mulut antara beberapa gadis dengan pemandu teksi yang tersebar hari ini sehingga mendapat pelbagai reaksi kini dalam siasatan polis dan kejadian itu berlaku di sebuah stesen minyak di Seksyen 7, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian 3 petang, gadis terdiri daripada empat beradik itu difahamkan dalam perjalanan ke sebuah pusat beli-belah di Seksyen 7.

Seorang daripadanya, Sharifah Fara Ryyana Syed Fareid, 25, yang dihubungi Harian Metro mendakwa, dia dan dua kakaknya, ditumbuk pemandu teksi itu sehingga cedera di muka.

Katanya, dia dan kakaknya tidak berdaya melawan dan hanya mampu memarahi pemandu teksi itu.

“Kejadian berlaku apabila pemandu teksi berkenaan enggan memberi laluan kepada kereta Myvi yang kami naiki. Kakak saya, Sharifah Fara Difla, 28, yang memandu kereta terbabit sudah memberi isyarat masuk ke kiri termasuk mengangkat tangan.

"Bagaimanapun, pemandu teksi itu enggan memberi laluan dan menghimpit kenderaan kami daripada masuk ke stesen minyak terbabit. Sejurus masuk ke stesen minyak, teksi itu secara tiba-tiba datang dari kiri dan melanggar kenderaan kami beberapa kali," katanya.

Dalam pada itu, usaha Harian Metro mendapatkan reaksi pemandu teksi terbabit gagal apabila wanita yang menjawab panggilan dipercayai isterinya tidak mahu memberi sebarang komen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, polis sedang menyiasat insiden pemandu teksi yang menyerang kumpulan gadis itu.

"Polis menerima laporan daripada kedua -dua pihak termasuk laporan yang mendakwa bapa gadis berkenaan menyerang pemandu teksi selain membuat kecoh di balai polis.

"Laporan yang diterima membabitkan kereta jenis Myvi yang bergesel dengan sebuah teksi dan difahamkan pemandu teksi bertindak agresif terhadap tiga gadis itu," katanya.

#shahalam Video ‘viral’ membabitkan aksi dan perang mulut antara beberapa gadis dengan pemandu teksi yang tersebar hari ini sehingga mendapat pelbagai reaksi kini dalam siasatan polis dan kejadian itu berlaku di sebuah stesen minyak di Seksyen 7, Shah Alam, Ahad lalu.Selanjutnya di http://hmtro.com/1aexa8R

Posted by Harian Metro * myMetro on Tuesday, March 31, 2015

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:37 PM