AHLI keluarga menyiram air bunga mawar selepas selesai pengebumian. FOTO Syarafiq Abd Samad
Oleh Ibrahim Isa & Shaifulazha Misri

 

Muar: Jenazah empat beranak maut di Kilometer 138 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Bandar Muadzam Shah, dekat sini, semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Parit Beting, Jalan Salleh, Muar, kira-kira 3 pagi tadi.

Semua jenazah tiba kira-kira 1 pagi dengan dua van jenazah dari Hospital Muadzam Shah, Pahang, sebelum diusung keluarga dan penduduk kampung hampir 300 meter ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi semalam, mangsa Rohaizan Paimon, 38; isterinya, Sallyza Hakim Lokma Nulhakim, 32; dan dua anak mereka, Nur Allysha Adrieanna Hakim Rohaizan, 6; dan Muhammad Nur Orfan Danish Hakim Rohaizan, 4, maut akibat cedera parah di kepala dan badan.

Empat beranak itu menetap di Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang, tiba di Muar pada 8 malam kelmarin dan pulang ke Kuantan pada 12 tengah malam semalam.

Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki empat beranak itu dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 7:51 AM