HASMAH menunjukkan koleksi kasut yang dijahit sendiri.
1. GUNTING kain kapas mengikut pola kasut yang disediakaan.
2. JAHIT bahagian depan dan belakang kasut.
3. HIAS kasut dengan reben untuk menambah tarikan pada rekaan kasut.
4. HIAS kasut dengan reben untuk menambah tarikan pada rekaan kasut.
5. HIAS kasut dengan reben untuk menambah tarikan pada rekaan kasut.
6. PADANAN lengkap untuk menampilkan gaya bayi yang comel.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Kasut bayi yang diperbuat daripada kain kapas semakin popular kini. Lebih menarik dan unik apabila kasut bayi dibuat sendiri menggunakan hasil kerja tangan kreatif.

Ia sangat sesuai digayakan bayi kerana diperbuat daripada kain kapas yang selesa dan tidak panas. Bagi anda yang masih pening memikirkan hadiah untuk si kecil baru lahir atau di bawah usia setahun, kasut bayi comel itu sangat sesuai diberikan sebagai cenderamata.

Bagi Hasmah Rozali, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti menjahit untuk mengisi masa lapang yang ada selepas bersara.

“Pada mulanya, saya menjahit sepasang kasut daripada kain kapas untuk kegunaan cucu yang baru lahir dan memasukkan gambarnya ke laman sosial.

“Tanpa disangka ia mendapat maklum balas yang sangat menggalakkan, malah ada yang ingin membuat tempahan kasut.

“Sejak itu, saya menerima tempahan membuat kasut bayi. Di samping dapat mengisi masa lapang, ia juga boleh membantu menambah pendapatan saya,” katanya.

Kasut berkenaan sesuai dipadankan bersama baju dan cekak rambut daripada material sama. Kebiasaannya, ibu bapa kepada bayi perempuan lebih gemar memilih rona cerah dan berbentuk bunga.

Bagi bayi lelaki, ibu bapa lebih suka memilih material motif kartun dan berwarna gelap pada kasut bayi.

Penggunaan fabrik kain kapas Inggeris atau Jepun lebih sesuai untuk membuat kasut bayi kerana ia lembut. Bagi mendapatkan jahitan yang kemas, tindih jahitan sebanyak dua kali pada setiap bahagian fabrik yang dijahit.

Untuk gaya kasut bayi lebih menarik dan comel, tambah elemen reben atau butang. Bagi anda yang mahu mencuba menghasilkan sendiri rekaan kasut bayi yang cantik, ikuti langkah mudah ditunjukkan Hasmah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 12:36 PM