BOT muatan rotan karam akibat terlanggar batu karang di perairan Pulau Mabul, Semporna. FOTO ihsan APMM
Oleh Junaidi Ladjana

Semporna: Enam awak-awak diselamat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau selepas bot muatan rotan dinaiki mereka karam akibat terlanggar batu karang di perairan Pulau Mabul, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Penguatkuasa APMM Tawau Kepten Anor Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4 pagi mengenai kebocoran bot selepas terlanggar batu karang di perairan Pulau Mabul, Semporna.

"Sebaik menerima maklumat itu, dua bot peronda APMM Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi kejadian pada 5.40 pagi sebelum bertindak menyelamatkan semua awak-awak dan bot berkenaan.

"Bot dan awak-awak kemudian di bawa ke Jeti Seafest, Semporna, untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bot dan awak-awak bagaimanapun ditahan untuk siasatan lanjut kerana melanggar arahan mengenai perintah berkurung fasa ke-17 bermula 7 malam hingga 5 pagi bermula 30 Mac dan berakhir 15 April 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 1:34 PM