IZZUDDIN layak secara merit ke Sukan SEA Singapura.
IZZUDDIN layak secara merit ke Sukan SEA Singapura.

Kuala Lumpur: Pendekatan sistem biomekanik untuk memperbaiki larian ternyata berkesan apabila bekas pelari negara Nazmizan Muhammad berjaya membimbing Mohd Izzuddin Yahya melepasi syarat kelayakan acara 100m ke Sukan SEA Singapura Jun ini.

Nazmizan yang kini berkhidmat di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, pendekatan itu banyak membantunya memperincikan sistem larian dan mengkaji kesalahan yang ada kalanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Menggunakan kepakaran UniMAP, Nazmizan berkata, sistem biomekanik itu sudah lama digunakan dalam sukan lain seperti bola sepak dan penggunaannya untuk olahraga setakat ini menampakkan hasil memberangsangkan.

“Ada ketikanya kita tidak boleh lihat secara terperinci dengan mata kasar, tapi dengan bantuan sistem biomekanik UniMAP ini memang sangat membantu sistem kejurulatihan saya.

“Peningkatan ditunjukkan Izzuddin dari segi lariannya cukup ketara dan kini saya berusaha memastikan dia terus memberi saingan dan jika boleh membawa pulang pingat acara 100m Sukan SEA,” katanya.

Sebelum itu Izzuddin yang bertugas sebagai guru di Perlis melakar 10.96s di Terbuka Pahang Ogos tahun lalu, melakukan 10.62 saat di Terbuka Selangor pada September dan 10.56s di Terbuka UniMAP pada November.

Catatan itu menunjukkan peningkatan prestasi Izzuddin dengan menjadi atlet pertama melepasi syarat kelayakan secara merit 100m apabila melakar 10.48s di Terbuka Terengganu bulan lalu.

Berdasarkan aksi konsisten dilakar atlet berusia 29 tahun itu, Nazmizan berkata, Izzuddin mungkin boleh memberi impak di Sukan SEA kali ini bersama pelari muda negara Nixson Kennedy yang turut layak beraksi dalam acara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:01 AM