Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sedia ‘membuka pintu’ untuk mendapatkan khidmat bekas Raja Pecut Asia Tenggara Nazmizan Muhammad selaku jurulatih pecut.

Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim bagaimanapun berkata, setakat ini perkara itu hanya di peringkat cadangan dan perbincangan lebih lanjut perlu dilakukan bersama Nazmizan.

Nama Nazmizan mula mencuri tumpuan apabila berjaya membimbing Mohd Izuddin Yahaya memenangi pingat emas acara 100 dan 200m pada Kejohanan Terbuka Malaysia yang memasuki edisi ke-92 minggu lalu.

Izuddin mencatat masa 10.48s dalam acara 100m dan 21.40s menerusi acara 200m sekali gus membolehkannya menempah tiket secara merit ke Sukan SEA Singapura pada 5 hingga 16 Jun.

“Kami akan bincang dengan Nazmizan. Tidak dinafikan kita perlukan jurulatih berkaliber.

“Nazmizan sudah menghantar mesej jelas kepada semua jurulatih yang dia juga mampu membimbing atlet berkualiti.

“Maksudnya, walaupun masih baru dalam dunia kejurulatihan, dia sudah membuktikan sesuatu,” katanya.

Karim juga mengesahkan Nazmizan akan menyertai kontinjen negara ke Singapura untuk membimbing anak didiknya itu.

Nazmizan kini adalah Pegawai Tadbir Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan jurulatih Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Perlis.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas acara 100 dan 200m di Sukan SEA adalah menerusi Nazmizan di Hanoi, Vietnam pada 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:02 AM