Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Cedokan cantik Amri Yahyah dan sentuhan `latin’ Luciano Figueroa membawa Johor DT ke perlawanan akhir Piala Malaysia untuk bertemu Pahang selepas menang 3-1, ke atas FELDA United, di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru, malam tadi.

Kemenangan itu bermakna Johor DT akan bertemu Pahang, di perlawanan akhir Piala Malaysia, di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Johor DT yang lolos ke akhir dengan agregat 6-5, membuka kempen separuh akhir kedua melalui gol sulung Luciano pada minit pada minit ke-29, menerusi sepakan percuma yang melengkung melepasi benteng FELDA United sehingga sukar digapai penjaga gol lawan.

Bagaimanapun, FELDA United bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi Mohd Raimi Mohd Noor, hasil kekalutan dua pemain pertahanan di depan gawang Johor DT yang cuba menepis keluar hantaran lintang Makache Noumba.

Bersambung babak kedua, Hodak membuat rombakan di sayap kiri apabila memasukkan Mohd Nazrin Nawi dan mengeluarkan Mahali.

Ini membuatkan Mohd Amri Yahyah kembali beraksi di posisi sayap kanan.

Keinginan tuan rumah mencari gol tampak membara pada minit ke-54 apabila umpanan Safiq Rahim kepada Diaz, kemudian merembat kencang tepat ke arah pintu gol namun tidak berhasil.

Serangan Harimau Selatan pada minit ke-65 menyebabkan gegak gempita `sorakan Larkin' bergema menyambut jaringan Figueroa selepas menanduk bola kemas hasil sepakan lintang Diaz untuk memberi kelebihan buat tuan rumah dengan agregat 5-5 dan mendahului 2-1.

Tuan rumah mengakhiri sisa perjuangan The Fighters pada minit ke-71 selepas Amri tidak mensesiakan hantaran Diaz dan mudah menewaskan Mohd Farizal untuk memastikan kemenangan tuan rumah.

Biarpun melangkah gah ke pentas akhir, Harimau Selatan terpaksa melupakan khidmat ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak yang memiliki dua kad kuning.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 11:39 PM