X
NOR Qamarul Ramdhah Ahmad Rashidi.
NOR Qamarul Ramdhah Ahmad Rashidi.
NOR Qamarul Ramdhah bergelar seorang bidan pada usia muda.
NOR Qamarul Ramdhah bergelar seorang bidan pada usia muda.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Memasang azam dan cita-cita untuk bergelar seorang bidan yang berjaya sejak di bangku sekolah rendah membuatkan wanita berwibawa ini berusaha keras mempelajari ilmu perbidanan dan ubat-ubatan tradisional bermula usianya tujuh tahun lagi.

Walaupun sering diejek rakan sebaya ketika itu disebabkan cita-citanya yang dianggap tidak profesional namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangatnya malah dia bertekad untuk membuktikan kerjaya idamannya mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepadanya.

Nor Qamarul Ramdhah Ahmad Rashidi, 31, yang kini bergelar bidan profesional, amat meminati bidang itu terutama membabitkan aspek urutan hasil pendedahan awal dan didikan keluarga terutama daripada bapanya.

“Ayah adalah seorang tukang urut dan ia membuatkan saya menjadi dekat dengan bidang ini. Dalam keluarga saya juga ada yang menjadi bidan dan membuatkan saya mula memasang cita-cita untuk bergelar bidan yang berjaya.

“Masih segar di ingatan bagaimana saya sering diejek rakan sebaya kerana mereka menganggap bidan adalah kerjaya orang kampung dan untuk wanita tua,” ujarnya sambil tersenyum mengimbas kenangan lama.

Wanita yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu bagaimanapun berkata, ejekan rakan itu menjadi pemangkin semangat untuk mencapai cita-citanya.

“Sejak di sekolah rendah saya sudah belajar dari ayah teknik urutan yang betul selain mula mengikut ayah masuk ke dalam hutan mencari akar kayu untuk dibuat ubat-ubatan, herba dan minyak urut.

“Dari situlah saya semakin berminat dengan bidang ini. Hasil didikan ayah dan sanak saudara lain, saya mula mengurut ahli keluarga selepas bersalin dan menjaga bayi seawal usia saya 13 tahun lagi,” katanya.

Nor Qamarul Ramdhah mengakui keakrabannya dengan ayah tersayang, Ahmad Rashidi Pandak Abdul Samad, 75, banyak memberinya ilmu urutan yang betul dan ia digunakannya sebagai panduannya untuk dia memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya kini.

Menurutnya yang mempunyai pengalaman mengurut lebih 18 tahun, walaupun dia mempunyai bilangan adik-beradik yang ramai iaitu 18 orang namun hanya dia saja yang menunjukkan minat mendalam untuk mendalami bidang itu.

“Selain saya, ada juga adik-beradik lain mempunyai kebolehan mengurut namun mereka tidak berminat untuk menjadikan bidang ini sebagai kerjaya.

“Alhamdulillah, berkat ketekunan dan semangat gigih akhirnya saya berjaya menjadi bidan dan tukang urut khusus dalam masalah wanita. Saya juga sangat bersyukur dengan kemahiran yang ada ini saya dapat membuka spa sendiri pada 2012 lalu,” katanya.

Nor Qamarul Ramdhah yang kini mempunyai tiga cahaya mata berkata, dia amat bersyukur kerana suami tercinta, Rahmad Faizal Nordin, 31, amat memahami minatnya dan memberi sokongan padu kepadanya untuk menjadikan bidang itu sebagai kerjaya utama.

“Bukan saja memahami malah suami sanggup mengeluarkan modal untuk saya membuka spa ini walaupun pada hakikatnya saya sering tidak mempunyai masa terluang bersama keluarga kerana memenuhi tempahan pelanggan.

“Saya hanya mengurut wanita terutama yang baru melahirkan anak dengan menawarkan pakej berpantang dan melakukan urutan di rumah pelanggan. Pelanggan yang mahu berurut dengan saya disarankan membuat tempahan awal bagi untuk membolehkan saya menyusun jadual,” katanya.

Menurut Nor Qamarul Ramdhah yang mengusahakan Qamar Anggun Beauty Spa di Klang City Square, Klang Selangor, selain melakukan urutan untuk wanita selepas bersalin dia turut mempunyai kemahiran menangani masalah wanita seperti rahim jatuh, angin dalam rahim atau badan, ikhtiar mendapatkan zuriat dan urutan saraf dengan menggunakan teknik urutan dan doa. Pada masa sama dia juga menawarkan khidmat rawatan badan dan muka.

“Semua perkhidmatan saya lakukan di spa kecuali urutan selepas bersalin sesuai dengan keperluan mereka yang tidak boleh keluar rumah dan perlu banyak berehat.

“Buat masa kini, saya mengambil tempahan mengurut wanita dalam pantang di sekitar Klang dan Shah Alam selain Johor dan Negeri Sembilan kerana saya mempunyai pekerja terlatih di dua negeri terbabit,” ujarnya.

Selain mementingkan mutu perkhidmatannya, dia juga sentiasa menjaga penampilannya supaya kemas dan menyenangkan pelanggan.

“Walau sesibuk mana pun saya akan pastikan penampilan diri sentiasa kemas dan cantik terutama ketika menjalankan rutin harian bergelar mak bidan dan tukang urut.

“Sering kali pelanggan terkejut apabila bertemu dengan saya kerana mereka beranggapan seorang bidan kebiasaannya sudah berusia. Mereka tidak sangka bidan yang ditempah masih muda,” katanya.

Berulang kali dia memberitahu kepuasannya dapat mencapai cita-citanya. Malah dia juga gembira dapat membuktikan kepada rakan lama ketika kecil dulu bahawa setiap cita-cita jika diusahakan sebaik mungkin boleh mendatangkan pendapatan lumayan. Lebih penting, dia dapat membantu wanita kembali sihat dan cergas supaya mereka boleh melaksanakan tugas sebagai isteri dan ibu dengan baik.

“Walaupun penat dan masa bersama keluarga dan anak-anak agak terhad namun saya puas kerana mampu memperoleh pendapatan lumayan hasil titik peluh diri sendiri selain dapat membantu suami dan ibu bapa.

“Bagi saya bukan senang untuk berjaya dan ia memerlukan kegigihan dan pengorbanan yang besar untuk mencapai apa yang diinginkan,” katanya.

Wanita yang berminat untuk mengetahui pakej ditawarkan Nor Qamarul Ramdhah boleh melayari laman facebook Qamar Anggun Beauty Spa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 1:01 PM