Miami, AS: Serena Williams (gambar) mencipta satu lagi rekod semalam apabila layak ke separuh akhir Terbuka Miami dengan kemenangan ke-700 karier selepas menundukkan Sabine Lisicki 7-6 (7/4), 1-6, 6-3.

Serena berdepan pemain popular Romania, Simona Halep, yang menang 6-1, 7-5 ke atas Sloane Stephens dari Amerika Syarikat (AS), bagi memburu tiket ke final.

Pemain nombor satu dunia itu muncul pemain kelapan memenangi 700 perlawanan dalam Jelajah WTA. Martina Navratilova memegang rekod kemenangan terbanyak dengan 1,442.

“Saya tidak tahu menang 700 perlawanan, kini saya hanya mahu teruskannya, melakukan yang terbaik,” kata pemain AS berusia 33 tahun itu yang menerima kek daripada penganjur selepas kemenangan itu.

“Saya hanya kekal positif dan cuba menang sebanyak mungkin,” jelas Serena, yang merangkul gelaran Grand Slam ke-19 pada Terbuka Australia tahun ini.

Pilihan ketiga Simona mendominasi Sloane, mendahului 6-1, 3-0 sebelum pemain Amerika itu bangkit. Sloane menang lima daripada enam permainan untuk mendahului 5-4 pada set kedua namun gagal memaksa set penentuan.

Simona mempunyai sejarah bersama Serena. Bintang Romania itu pemain terakhir mengalahkan bintang AS itu dalam Jelajah WTA apabila membenam pemain nombor satu dunia itu 6-0, 6-2 pada peringkat kumpulan Pusingan Akhir WTA di Singapura, Oktober lalu.

Serena pantas bangkit menundukkan Simona 6-3, 6-0 pada final beberapa hari kemudian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 8:53 AM