X
Reuters

Madrid: Lionel Messi mampu cergas sepenuhnya untuk beraksi buat Barcelona pada perlawanan La Liga di Celta Vigo, Ahad ini di sebalik kebimbangan terhadap kecederaan kaki yang dialaminya, kata pertahanan tengah Gerard Pique semalam.

Messi, penjaring terbanyak La Liga, tidak tampil dalam dua perlawanan persahabatan Argentina ketika rehat antarabangsa selepas mengalami kecederaan di kaki kanannya pada pertembungan ‘Clasico’ menentang Real Madrid bulan lalu.

“Saya optimis mengenai Messi, saya sudah bercakap dengannya,” kata Pique pada satu acara promosi.

“Saya fikir dia boleh bermain di Balaidos (stadium Celta),” ujar pemain kebangsaan Sepanyol yang dilahirkan akademi remaja Barca bersama Messi.

“Bagaimanapun semuanya bergantung kepada apa yang dirasakan Messi hingga hujung minggu ini. Staf perubatan pasti akaan memutuskannya. Apapun bagi saya dia akan bermain.”

Kemenangan 2-1 Barca di laman sendiri ke atas Real membantu mereka menjarakkan kedudukan dengan musuh utama di puncak La Liga dengan empat mata dan berbaki 10 perlawanan.

Pasukan tangga kedua, Real yang menerima kunjungan Granada pada Ahad, bergelut akhir-akhir ini dan kekalahan 1-2 di Nou Camp kekalahan ketiga mereka dalam empat perlawanan terakhir bagi semua pertandingan.

Sebaliknya Barca meraih tujuh kemenangan berturut-turut dan berpeluang mengulangi kejayaan menakjubkan pada 2009 dengan menjuarai Liga Juara-Juara, liga Sepanyol dan Piala Raja Sepanyol selepas musim lalu gagal meraih sebarang trofi buat kali pertama dalam tempoh enam tahun.

Mereka bertemu Paris St-Germain pada suku akhir pertandingan utama kelab Eropah itu dan layak ke final Piala Raja Sepanyol menentang Athletic Bilbao.

“Kami sedar ia pasti amat sukar dan perlu berada pada tahap tertinggi jika mahu memenangi kejuaraan,” jelas Pique.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 9:15 AM