SUNU membawa diri ke Pakistan.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Hijrah maksudnya berpindah dan dalam konteks sejarah Islam, ia merujuk kepada peristiwa perpindahan Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah sekitar 1,400 tahun lalu.

Manakala hijrah pada abad ini lebih dilihat kepada perubahan diri ke arah lebih bersifat positif dan diredai Allah.

Penghijrahan inilah dilakukan beberapa artis tempatan dan luar negara yang turut mendapat reaksi positif peminat mereka.

Sempena sambutan Awal Muharram 1436 yang berlangsung semalam, SELEBRITI ingin berkongsi kisah menarik beberapa artis rockers yang nekad berhijrah mengabdikan diri dengan Islam.

Hijrah Rockers Indonesia

Antara menarik perhatian ialah penghijrahan vokalis kumpulan Matta iaitu Sunu Hermaen yang pernah popular dengan lagu Ketahuan pada 2007.

Sunu berusia 32 tahun apabila mengambil keputusan 'mencari diri' dengan mendalami ilmu agama di Pakistan selama 40 hari.

Sebelum ke sana, penyanyi berasal dari Bandung itu sempat mengikuti pengajian bersama anggota Matta lain di Masjid Al Medinah di Antapani, Bandung, Jawa Barat selama beberapa tahun.

Dalam satu temubual eksklusif bersama media Indonesia, Sunnu berkata, mereka mengambil keputusan mendekatkan diri dengan agama kerana kalau terus mencari urusan dunia, dia bimbang akan melupakan akhirat.

"Jika terlupa pada akhirat, ia pasti membuatkan kami terus sesat. Kami masih baru dalam pencarian ilmu agama. Aktiviti persembahan masih dilakukan, cuma tidak sekerap dulu," kata Sunu ringkas.

Selain Sunu sebagai vokalis, Matta dianggotai Yadi Bachman (dram), Yogi Wargana (gitar), Dicky Yudha Handika (gitar), Setia Permana (bass) dan Yudi Permana (keyboard).

Matta sempat melahirkan lima album termasuk Ketahuan, Sumpah Mati, Playboy (2007), Permata (2009) dan kali terakhir Kalimat Sakti pada 2011.

Seorang lagi artis rock Indonesia yang berhijrah adalah Irvan Sembiring yang pernah menganggotai kumpulan trash metal pertama di Indonesia iaitu Rotor Band.

Band itu sungguh hebat hinggakan pernah menjadi band undangan untuk konsert Metallica di negara itu pada 1993.

Irva mula mendekatkan diri dengan agama selepas dua anggota kumpulannya meninggal dunia akibat pengambilan dadah berlebihan.

Menurut sahabat Irvan, penyanyi dan pemuzik itu lebih banyak mengabdikan dirinya berdakwah ke seluruh negara dan luar negara.

"Ketika tinggal di Cinere, saya banyak melihat Irvan meluangkan masa di masjid. Dia sering melaksanakan solat lima waktu di Masjid Imam Bonjol dan Masjid Al-Ittihad. Walaupun tidak lagi aktif, sesekali Irvan bermain gitar di rumah.

"Melaksanakan ibadah jadi rutin setiap hari Irvan, malah sesekali dia menyertai jemaah Tabligh di dalam dan luar negara," kata sahabat Irvan.

Percaya bakat yang ada mampu mendorong peminat mendekatkan diri dengan agama, Irvan dan kumpulannya kembali menerbitkan album kelima, tahun lalu.

Biarpun mengetengahkan lirik kerohanian, mereka masih mengekalkan muzik Rotor Band. Liriknya menggunakan ayat suci al-Quran dalam terjemahan bahasa Inggeris.

"Album ini akan disertakan dalam dua lirik, Inggeris dan Indonesia. Kalau dalam bahasa Inggeris, liriknya serius ke arah Islamik. Saya tidak cipta lirik baru, sebaliknya mengambil ayat suci al-Quran.

"Setakat ini tidak ada lagi alim ulama menegur atau memberi komen mengenai perkara ini," kata Irvan yang masih belum tahu bila album berkenaan akan dilancarkan.

Nama Sakti Are Seno pasti tidak asing bagi pencinta band Shiela On 7 (SO7) di Malaysia. Menukar namanya kepada Salman Al Jugjawy, jejaka berusia 34 tahun ini mengejutkan peminat apabila mengambil keputusan mengundurkan diri ketika SO7 berada di puncak populariti.

Lebih indah, penghijrahan Sakti bermula sewaktu dia berada di Malaysia untuk tujuan promosi album.

"Ketika berada di Malaysia, saya terjumpa sebuah buku berjudul Menjemput Sakaratul Maut bersama Rasulullah. Selepas membacanya, saya mulai sedar.

"Sudah lama saya tidak memikirkan soal mati, sedangkan kita semua pasti mati satu hari nanti. Jadi apa persiapan saya? Saya jadi bimbang serta takut kerana sudah lama khayal dengan populariti dan kekayaan," katanya yang pernah murung sebelum kembali ke jalan benar.

Sakti tidak ralat atau berasa rugi meninggalkan SO7, sebaliknya yakin apa dilakukan sekarang adalah untuk Allah dan akan dikurniakan 'gaji' lebih lumayan.

Hasil kekayaan yang diperoleh dalam bidang muzik dilaburkan dalam bisnes dobi serta pasar raya.

"Hubungan saya dengan SO7 yang lain kekal utuh. Kami masih bertemu, malah kadangkala Arros akan datang ke rumah untuk mengaji.

"Kami juga pernah bersama-sama beriktikaf di masjid dan berkumpul bagi melepaskan rasa rindu," katanya yang menerbitkan dua album keagamaan berjudul Selamatkan pada 2006 dan album pakej semula, Islam Itu Indah (2013).

Rockers Malaysia

Selain Indonesia, penghijrahan rockers tempatan turut mendapat perhatian peminat. Ada antaranya berhijrah secara diam hinggakan peminat tertanya-tanya ke manakah penyanyi rock kesayangan mereka menghilang.

Penyanyi yang pernah aktif dalam kumpulan rock Mpire, XPDC dan Terra Rossa iaitu Ali, 46, mengakui hidupnya semakin tenang selepas berhijrah.

"Selepas membuat keputusan memperlahankan aktiviti seni dan berhijrah kira-kira tiga tahun lalu, saya semakin fokus dengan kehidupan.

"Banyak perkara saya belajar apabila sering menghadiri kuliah agama. Dari situ saya sedar banyak suruhan-Nya saya abaikan," katanya.

Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail berkata, pelbagai dugaan terpaksa dilalui selepas berhijrah hinggakan pernah berlaku salah faham.

Antaranya, Ali didakwa tidak mesra apabila enggan bersalam dengan peminat wanita, sedangkan ia perkara biasa apabila berada dalam dunia seni yang budayanya bebas.

"Isu halal haram, terutama bab pergaulan antara lelaki dan perempuan, jelas hukumnya dalam Islam. Saya anggap isu itu timbul kerana ada peminat kurang arif mengenai agama.

"Sejak itu, saya berazam memperbetulkan diri sendiri dan keluarga terlebih dulu sebelum memikirkan kesilapan orang lain," katanya.

Ali masih aktif menyanyi dengan menerbitkan album ketuhanan, Maghfirah Mu yang kebanyakan lirik dihasilkan oleh Ustaz Azhar Idrus, juga bekas pemuzik sekitar 1980-an.

Penyanyi yang popular dengan lagu Bunga Angkasa ini turut menegaskan, dia tidak lagi menjayakan persembahan di kelab malam.

"Jenis lagu juga lebih menjurus ke arah ilmu dan agama. Andai ada lagi permintaan menyanyikan lagu lama, saya tidak keberatan tetapi mungkin ada sedikit perubahan pada liriknya.

"Saya tidak mahu masyarakat menganggap penghijrahan saya atas tujuan publisiti, sebaliknya niat itu sudah lama ada berikutan faktor usia," kata bapa kepada lima anak ini.

Bekas anggota kumpulan Eye yang pernah popular sekitar lewat 1990-an, Mohd Izam Arshad atau Izam EYE mengakui sambutan hambar peminat terhadap album Mahkota Impian yang berada di pasaran pada 1998 menggerakkan hatinya menyertai kumpulan tabligh pada 2003.

Selama lima tahun, Izam terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara keluarga. Kehidupannya ketika itu sangat susah.

"Selepas menyertai tabligh pada 2003, saya bertambah tenang. Namun penghijrahan itu pasti ada cabarannya dan saya memerlukan modal untuk memulakan hidup baru. Jadi, saya jual televisyen untuk mendapatkan modal niaga.

"Saya jual minyak wangi dan pada ketika itu ada peminat pandang pelik apabila saya melakukan pekerjaan itu," katanya mengimbas pengalaman lalu.

Hasil dari pengalaman berniaga minyak wangi, Izam akhirnya berjaya mengeluarkan minyak wangi sendiri dengan mengetengahkan jenama EYE Parfumes.

Biarpun sudah lama meninggalkan dunia nyanyian, masih ada pemintaan menjayakan persembahan daripada mereka yang masih mengenalinya.

Sama seperti Ali, dia menitikberatkan jenis lagu dan lokasi persembahan bagi mengelak berlaku fitnah dan salah faham.

Selain Ali dan Izam, rockers lain yang mendapat hidayah adalah Mel (bekas penyanyi Wings), Nizam (Laksamana) dan Rahmat (Ekamatra).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:00 AM