CECH
COURTOIS

Usah berharap penjaga gol Chelsea dari Republik Czech, Petr Cech, 32, akan menjadi seperti Carlo Cudicini.

Memandangkan tempatnya dalam pasukan kini menjadi milik Thibaut Courtois, Cech mula memikirkan masa depannya di Chelsea.

Cech selama ini begitu setia bersama Chelsea tetapi sesuatu yang tidak realistik jika dia bersedia untuk menerima watak pembantu seperti Cudicini.

“Persoalan masa depan saya sudahpun selesai tetapi seronok bila mengetahui saya akan berada di sini selama lima tahun lagi,” kata Courtois September lalu, menerusi laman web Chelsea.

“Kini saya boleh memberi tumpuan terhadap perlawanan.”

Di saat Courtois komited bersama Chelsea, Cech pula dibayangkan sebaliknya.

“Saya sudah bersama Chelsea selama 10 tahun tetapi situasi ini begitu baru bagi saya,” kata Cech September lalu menerusi Sport.cz .

“Saya tidak mempunyai sebab untuk panik, berkemas dan pergi.”

Biarpun 10 tahun lebih tua daripada Courtois, yang mung­kin menjadi antara penjaga gol terbaik generasinya, Cech mahu menunjukkan dia masih mampu bertahan di bawah pengurus Chelsea, Jose Mourinho.

Ia tidak membawa sebarang makna.

Beraksi dalam 86.2 peratus perlawanan Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris, Courtois jelas sekali menjadi No 1, sementara Cech hanya bermain lima kali.

Bagaimanapun rekod Cech sepanjang dua musim terakhir menunjukkan dia jauh lebih baik daripada kempen Courtois musim ini.

“Saya tidak fikir Petr seorang lelaki yang perlu dipujuk,” kata Mourinho.

“Jika dia memberitahu saya dia mahu meninggalkan kelab ini, saya akan memberitahu pandangan saya bahawa dia adalah satu daripada tiga penjaga gol terbaik dunia, wang banyak diperlukan (untuk perpindahannya).”

Memandangkan Cech mempunyai kontrak hingga 2016, anda pasti menjang­kakan dia akan menjadi pemain bernilai tinggi untuk dibeli kelab utama Eropah, kerana dia akan bergerak secara bebas pada penghujung musim berikutnya.

Apa yang mungkin berlaku Cech akan meneruskan kontrak dan memilih untuk berpindah secara percuma.

Atau Cech mungkin dijual kepada kelab utama Eropah dengan bayaran tertentu tetapi ia bertenta­ngan dengan pendirian Mourinho yang menunggu bidaan ting­gi.

Melainkan jika kelab di luar Eropah cuba mendapatkan Cech dengan pakej lumayan. Apa yang dimaksudkan ialah kelab dari Chinese Super League, Qatar Stars League dan UAE Arabian Gulf League.

Seperti Edwin van der Sar di Juventus, Cech berasa tidak dihargai di Chelsea.

“Saya tidak mahu lagi semusim lagi seperti ini,” kata Cech dalam satu wawancara.

“Apabila tawaran yang sesuai tiba, saya akan mempertimbangkannya.”

Yang pasti Mourinho akan meneruskan rancangannya dan menyokong Courtois sebagai Cech 2.0 seperti yang digambarkan kartunis Omar Momani.

Cech yang dibeli oleh Claudio Ranieri, menjadi No 1 buat Mourinho, biarpun Cudicini mempunyai statistik hebat selaku penjaga gol berbanding Cech ketika itu.

Dibayangi bapanya, Fabio, legenda bola sepak yang menjuarai Piala Eropah dan berada dalam Dewan Kemasyhuran AC Milan, Cudicini pula gagal ke AC Milan dan Lazio.

Namun apa yang membuatkan nama Cudicini mula melonjak adalah nasib malang yang menimpa rakan sepasukannya ketika itu, penjaga gol Mark Bosnich.

Biarpun beraksi cemerlang, Bosnich menghampiri penghujung karier secara tiba-tiba sewaktu menentang Everton pada November 2011, apabila otot betisnya koyak.

Sejak itu, Ranieri memilih Cudicini yang menjadi punca Bosnich mengalami tekanan sebelum dibuang daripada kelab itu selepas didapati sah mengambil ganja.

Justeru sewaktu Cech mula ‘merampas’ kedudukannya, Cudicini tidak memburu cabaran baru sebaliknya sedia menjadi sokongan, yang menjanjikan stabiliti karier buat­nya.

“Cech adalah penjaga gol yang hebat dengan masa depan cerah,” kata Cudicini pada 2004.

“Saya tidak mempu­nyai masalah kerana Chelsea perlu memandang ke depan. Secara jujurnya saya rasa mereka melakukan sesuatu yang betul.”

Apa yang diperkatakan Cudicini memang betul. Tahukah anda berapa nilai Cudicini dan Cech di Chelsea?

Pemain itu dibeli pada harga £160,000 (RM870,080) dari Castel Di Sangro pada 2000 manakala Cech dibeli dari Rennes, mengatasi pesaing Inter Milan dan Real Madrid pada harga £9 juta (RM48.9 juta) pada 2004.

Fakta itu saja sudah cukup untuk menjadi bukti Cech tidak akan menjadi Cudicini di Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 11:24 AM