BERGAMBAR bersama anak-anak rakannya ketika mereka menyediakan buah-buahan untuk dijadikan jus bagi merawat kansernya.
CANDICE menutup kepalanya apabila rambutnya semakin gugur.
CANDICE meminum buah-buahan yang dijadikan jus.
MELANCONG di Bali bagi menghilangkan tekanan.
Susunan Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Candice-Marie Fox diberikan masa hanya lima tahun untuk hidup. Tetapi dia berjuang dan mampu melawan kanser terminal yang dihidapinya dengan memakan nanas.

Dia terkejut apabila doktor memberitahu dia mempunyai jangka hayat selama lima tahun disebabkan kanser tiroid sudah merebak ke bahagian lain di badannya.

Wanita berusia 31 tahun ini ditawarkan rawatan kemoterapi, tetapi dia menolak kerana proses itu ‘membunuh’ rakannya sebaliknya dia melakukan sesuatu yang pelik, mengunyah sehingga tiga nanas sehari.

Dia juga memakan berpuluh anggur, lemon, epal, kiwi dan pisang. Candice turut meninggalkan makanan kesukaannya seperti daging selain suaminya.

Dalam tempoh enam bulan, kanser tahap empatnya hampir hilang hingga menghairankan kumpulan perubatan. Candice yang bekerja di bahagian pemasaran kini bebas daripada tumor dan dia memberi galakan kepada orang ramai untuk menjaga kesihatan menerusi laman web.

“Saya menghapuskan ketulan tumor itu menerusi pemakanan tulen.

“Saya dapati bromelain yang terdapat dalam nanas, kiwi dan betik membunuh lapisan protein pada kanser.

“Terdapat satu protein dalam produk haiwan yang memakan kanser, tetapi apabila saya makan dalam jumlah yang tinggi, tubuh saya tidak mampu sembuh kerana semua tenaga tertumpu untuk mencernakan makanan.

“Jika saya memakan sedikit buah pada satu-satu masa, ia akan membunuh lapisan kanser bermakna saya melawan kanser itu dan dalam masa enam bulan.

“Kini, tiada lagi tumor dan saya gembira kerana kehadiran kanser ini memberi satu pengalaman cukup bermakna. Ia mengubah saya menjadi seseorang yang lebih tabah dan kuat,” katanya.

Candice yang berasal dari Houghton Regis, Hertfordshire, menemui ketulan di atas tulang selangka kirinya pada 2011 dan ujian ultra bunyi mendedahkan dia berhadapan kira-kira 20 karsinoma tiroid papilari.

Meskipun menerima rawatan, kanser itu tetap merebak ke bahagian hati dan belakang lehernya selain sel-sel prakanser dalam paru-parunya.

Menurut doktor, dia harus kembali dalam tempoh enam bulan untuk rawatan kemoterapi bagi me­ngurangkan kanser itu, tetapi Candice menolak.

Dia kehilangan dua kawan karibnya, Jamie Brownsmead, 31, dan sepupunya Frankie Gerathy, 13, yang menghidapi kanser pada 2009 dan menganggap serta menyalahkan tubuh yang lemah disebabkan kimo punca kematian mereka.

“Saya memutuskan akan hidup selama lima tahun saja atau dalam jangka masa enam bulan, saya perlu menghapuskan penyakit ini dan buktikan kepada mereka.

“Saya mula makan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak. Kadangkala berminggu hanya bergantung dengan buah-buahan,” kata Candice yang ketika itu tinggal di Karratha, Australia Barat.

Candice melakukan penyelidikan di Internet dan menukar cara pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Dia kenyang dengan hanya memakan buah-buahan seperti nanas mengandungi bromelain yang tinggi sebagai pembunuh kanser dan meninggalkan makanan berat kerana boleh menghalang tenaga untuk sembuh.

Dia turut membuang segala produk kecantikan dan semburan pembersih berkimia, berhenti merokok, mengamalkan yoga, malah turut memutuskan hubu–ngan dengan suami yang dikahwininya selama dua tahun.

Seperti mana dia menyertai kumpulan tarian berfikiran positif, dia turut mengamalkan meditasi dan berhenti kerja.

“Tekanan, bahan kimia dan produk haiwan adalah penyebab kanser, jadi ia perlu dihapuskan daripada hidup saya.

“Suami pula tidak memberi semangat dan sokongan untuk saya melawan kanser, memaksa kami berpisah.

“Saya berjaya menghapuskan ketulan besar tumor menerusi makanan sains tulen dan bersikap positif,” katanya.

Dia berjumpa doktor enam bulan selepas didiagnosis dulu dan doktor mengesahkan dia berjaya melawan kanser.

Candice yang menguruskan agensi pemodelan berkata: “Saya hidup dengan terma kehidupan sekarang. Saya tidak lagi kecewa atau bersedih, tetapi tahu apa yang dilakukan.”

“Diet memainkan peranan utama seiring dengan senaman yang kerap, sikap positif dan kerohanian.

“Buah-buahan seperti nanas mengandungi campuran enzim proteolitik seperti bromelain yang melawan kanser.

“Sains tidak menyediakan kesemua jawapan dan kita perlu terus mencari sesuatu yang di luar kemampuan mereka,” kata Pengarah di Institut Penyelidikan Pemakanan Onkologi di California, Pakar Onkologi, Mark Simon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 12:50 PM