Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah bas. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah bas. FOTO ihsan bomba
Oleh Asrizal Aris

Ipoh: Seorang pemandu bas maut akibat tersepit di bawah kenderaan yang dipandunya dalam kejadian di Kilometer 317 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Tapah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, mangsa dipercayai mengantuk lalu gagal mengawal kenderaan menyebabkan basnya terbabas ke kiri jalan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tapah Abu Hassan Shaari Mat Isa berkata, pasukannya menerima panggilan pada 11.22 pagi segera ke tempat kejadian dan mendapati seorang mangsa tersepit di bawah bas.

"Siasatan awal mendapati pemandu bas itu tercampak keluar dari cermin depan bas selepas terbabas lalu bas berkenaan bergerak ke hadapan menghimpit mangsa hingga menyebabkan mangsa tersepit.

"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan dikeluarkan menggunakan kren mini dengan bantuan anggota Balai Bomba Gopeng," katanya.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke hospital berhampiran untuk tindakan lanjut.10

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 3:15 PM