rap

Alitimet pilih De Fam nyanyi Bunga

Oleh Syanty Octavia Amry

PENYANYI trio wanita De Fam bakal mempersembahkan lagu Bunga nyanyian asal Altimet yang layak bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) pada 3 Februari ini.

De Fam yang dianggotai oleh Azira Shafinaz, Sophia Liana dan Cik Manggis akan menggantikan Altimet berikutan keputusan penyanyi rapper itu nekad untuk bersara daripada menjadi seorang penyanyi pada usianya 40 tahun November tahun lalu.

De Fam ketika ditemui berkata, Altimet menyuarakan hasrat mahu mereka menyanyikan lagu Bunga pada November tahun lalu.

"Kami tidak menyangka Altimet sendiri yang memilih kami untuk membawakan lagu Bunga kerana menurutnya, tidak ada mana-mana artis yang boleh membawakan lagu itu selain De Fam. Mungkin juga dia melihat kami satu-satunya penyanyi yang sesuai membawakan lagu seperti itu.

"Kami sangat teruja dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Altimet," kata Azira mewakili rakan sekumpulan.

Menurutnya, perasaan mereka kini bercampur baur antara teruja dan gementar kerana perlu melaksanakan satu tanggungjawab yang besar.

"AJL adalah pentas yang sangat berprestij dan ia bukan satu perkara mudah. Tidak kami nafikan lagu Bunga mempunyai cabaran tersendiri kerana kami bukanlah penyanyi rap, namun begitu, akan cuba memberikan kelainan menerusi persembahan pada malam itu nanti," katanya.

AJL33 akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil.

Selain Bunga ciptaan Omar K, John Jeevasingam dan Altimet sendiri, pentas AJL33 turut menampilkan 11 lagi finalis antaranya Sampai Bila (Misha Omar), Semakin (Siti Sarah), Luluh (Khai Bahar) dan Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer).

Juga tidak ketinggalan lagu Nisan Cinta (Siti Nordiana dan Jaclyn Victor), Di Matamu (Sufian Suhaimi), Hajat (Hael Husaini), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli dan Aman RA), Haram (Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah), Kau Pun Sama (Syamel) dan Bunga (Ara Johari).

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 10:51pm
d