TEMA ‘folklore’ atau budaya rakyat diangkat sebagai sumber inspirasi pada rekaan.
TEMA ‘folklore’ atau budaya rakyat diangkat sebagai sumber inspirasi pada rekaan.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Meriah juga penuh warna-warni. Kepelbagaian corak, rona dan imej jelas menjadi mainan utama dalam himpunan Superdry bagi musim ini.

Paduan unsur feminin, preppy dan santai antara nadi helaian musim bunga yang diterjemahkan penuh nuansa untuk penampilan lebih unik.

Ia bagaikan festival di Superdry. Tema ‘folklore’ atau budaya rakyat diangkat sebagai sumber inspirasi dengan rangkuman pada rekaan blaus, gaun dan celana pendek yang dipersembahkan bersama perincian manik, sulaman serta fabrik kontra.

Selain ledakan warna, wujud alternatif lebih ringan pada serlahan monokromatik antaranya renda gaun skater, jaket Biker berfabrik kulit, jaket denim dan jalur nautika pada helaian blaus.

Sesetengah rekaannya juga banyak dipengaruhi rentak nakal era 1990-an dengan seluar pendek pixie dungaree, blaus celupan ‘tie-dye’ dan seluar kapas.

Gaya cacamarba yang dihasilkan daripada paduan variasi motif serta fabrik ini nyata mencetuskan stail eksentrik-sofistikated yang lebih segar.

Ada sebahagiannya sengaja dititipkan stail preppy dan romantik menerusi potongan gaun lebih anggun serta feminin dengan penggunaan material ringan.

Tidak ketinggalan aksesori penting musim bunga seperti kaca mata hitam, beg tote dan beg sandang yang mudah dipadankan dengan apa jua gaya.

Unsur chic tidak ketinggalan ditonjolkan dalam koleksi ini yang bercirikan potongan kemas menerusi jaket sementara skirt dan celana pendek ditambah perincian minimum bagi menghasilkan penampilan kasual.

Potongan minimalis bersama garisan kemas tidak ketinggalan menjadi watak utamanya yang boleh dilihat menerusi padanan blaus longgar bersama helaian formal dalam rona semula jadi.

Sesekali himpunan ini diselangi gaya sporty dengan pilihan warna polos yang menjadi titik tumpuan pada kemeja-T ringkas.

Helaian luar lebih kepada padanan tambahan seperti jaket ‘wind attacker’, selendang nipis dan jaket bomber Benjamin.

Gaya santai ini dimeriahkan lagi dengan paduan aksesori menarik, daripada jam hinggalah ke sepatu espadrille, juga selipar dan kasut but.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:07 AM