BAU harum lavender amat kurang disenangi nyamuk.

Bersandarkan pengalaman hampir 15 tahun dalam dunia hiasan dalaman, sentuhan dekorasi boleh membantu menghalau nyamuk.

Cuba lihat di sekeliling ruang kediaman anda dan lakukan sedikit perubahan bersifat sementara. Bagi mengelak nyamuk, pastikan langsir menggunakan warna terang dan panas seperti merah, kuning atau putih.

Walaupun anda kurang berminat dengan warna ini, tetapi buat sementara waktu langsir dari rona inilah yang paling membantu untuk mengurangkan kehadiran nyamuk di dalam kediaman anda.

Perhatikan pencahayaan lampu dan mentol. Jika sebelum ini dekorasi ruangan anda dari jenis berlampu suram dan redup, untuk sementara waktu ini tukarkan dengan mentol lebih cerah. Jika perlu tambahkan sedikit pencahayaan seperti lampu kaki atau lampu meja.

Warna mentol pula seelok-eloknya berwarna putih bagi memberikan impak dan suasana lebih terang dan cerah yang bukan kesukaan nyamuk.

Jika anda seorang pengumpul dan penggemar pasu seperti seramik atau pasu kaca terutama jenis berlopong buat sementara cuba telangkup semua pasu itu supaya tiada ruang untuk nyamuk bersembunyi ketika siang.

Jika ruang di kediaman anda di penuhi bunga hiasan untuk seketika simpan dan tukarkan dengan kehadiran bunga segar. Bunga segar yang paling terbaik ketika ini adalah bunga lavender.

Bunga lavender sudah lama diproses menjadi losen untuk menghindari gigitan nyamuk saat kita berekreasi di hutan. Jadi, bunga ini boleh dibawa masuk ke kediaman kerana lavender amat terkenal sebagai ‘bunga penghalau nyamuk’.

Bau harum lavender amat kurang disenangi nyamuk, tetapi jika anda sukar mendapatkannya, memadai menyalakan lilin beraroma lavender di setiap sudut.

Dari segi kajian, nyamuk amat sensitif terhadap tindakbalas haba dan amat gemar kepada sumber hangat. Kebiasaannya tubuh kita menghasilkan keringat dan suasana panas hari ini membuatkan kita cepat berpeluh.

Situasi ini mengundang nyamuk kerana ia boleh mengesan sumber haba yang dilepaskan dari tubuh manusia.

Justeru itu, buat sementara waktu pastikan suasana kediaman anda dingin. Jika tiada pendingin hawa, inilah masa terbaik untuk anda mendapatkannya. Tutupkan semua tingkap dan hidupkan pendingin hawa dalam suhu sejuk sederhana supaya keseluruhan ruang kediaman anda menjadi dingin.

Semoga segala usaha ini berbaloi untuk kita mengurangkan risiko terkena pelbagai jenis penyakit bawaan nyamuk. Apabila serangan nyamuk sudah reda dan laporan demam denggi semakin menurun, maka anda boleh kembalikan dekorasi sebelumnya dalam kediaman anda.

Saya juga tengah mempraktikkannya untuk kediaman sendiri dan hasilnya amat membanggakan. Selamat mencuba!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:08 AM