AFP

Miami, AS: Serena Williams (gambar) melangkah ke final Terbuka Miami kali ke-10 selepas menundukkan Simona Halep 6-2, 4-6, 7-5, semalam.

Serena, jelas kecewa dengan pasukan sorak Simona yang mengganggu tumpuannya, menyaksikan pukulan forehand tersasar pada set kedua dengan Simona menyempurnakan satu-satunya mata ‘break’ pada set itu untuk memaksa set penentuan.

Pemain nombor satu dunia yang merangkul gelaran Grand Slam ke-19 pada Terbuka Australia tahun ini, bangkit mendahului 5-2 pada set ketiga sebelum pemain nombor tiga dunia dari Romania itu bangkit.

Akhirnya Serena menemui sentuhannya dan dia akan membida kejuaraan Miami kelapan menentang Carla Suarez Navarro.

Carla menempah tiket ke perlawanan terbesar kariernya dengan kemenangan 6-3, 6-3 ke atas pemain Jerman, Andrea Petkovic.

“Saya banyak melakukan kesilapan dan kecewa. Hanya perkara yang menjadi buat saya adalah bermain di jaring. Saya gembira melepasi perlawanan ini. Namun ia perlawanan yang menghiburkan, saya berada di final dan ia amat menakjubkan,” kata Serena.

Serena menang semua empat pertemuan menentang Carla tanpa kalah sebarang set.

Perlawanan akhir hari ini terbesar dalam karier Carla, pilihan ke-12.

“Saya bermain dengan bagus, perlawanan penting seperti ini memang sukar,” jelas Carla. “Saya hanya cuba bermain permainan sendiri dan berseronok.

“Beraksi di final amat penting buat saya. Saya berlatih ketika cuti rehat musim dengan harapan bermain final seperti ini,” ujar pemain Sepanyol itu, yang hanya meraih satu kejuaraan WTA di Portugal tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:30 AM