SHAHEERA (kiri) menemani Nadia menikmati sandwic.

Dekorasi latar The Picnic Table di The Strands, Kota Damansara, Selangor sangat santai apabila pemilik kafe berkenaan menggunakan ‘prop’ seperti raga rotan dan tikar bercorak petak untuk menyuntik ‘mood’ suasana perkelahan di dalamnya.

Permaidani seperti rumput turut menonjolkan lagi elemen seakan-akan dalam taman, sekali gus mengundang keinginan menikmati sajian sandwic bersama minuman sejuk.

Kreativiti itu menonjolkan kebijaksanaan pemiliknya, Sha­heera Djafar dan Sharin Sharif yang sebelum ini merintis lapangan katerer menerusi perkhidmatan penghantaran hidangan sandwic menerusi dalam talian atas nama Simply Sandwiches.

Menurut Shaheera, konsep untuk kafe sulung ini dicetuskan rakan niaganya, Sharin yang mahu berkongsi pengalaman menikmati hidangan tengah hari mahupun sarapan di taman.

“Kami pernah menuntut di Australia dan ketika itu, kami mula belajar tabiat baru dalam kalangan komuniti tempatan iaitu menikmati sarapan dan hidangan tengah hari di taman. Bagi kami, ia sangat relaks dan memadai dengan memakan sandwic untuk mengalas perut sehingga ke petang.

“Kami cuba terapkan elemen ini menerusi konsep berkelah di dalam kafe. Ia jauh lebih baik kerana tidak perlu bimbang dengan cuaca, malah mereka boleh bersantai bersama anak kerana kami memberi kelonggaran kepada anak pengunjung berkeliaran di ruang tamu selera,” katanya.

Mengenai juadah berupa hidangan sandwic selaku menu utama, Shaheera berkata, roti digunakan mengandungi serat tinggi serta saiz rotinya tebal dan boleh ‘melapik’ perut sehingga ke petang.

“Sandwic kami paling mendapat sambutan baik untuk hidangan pagi mahupun tengah hari. Antara menu paling istimewa dan sering menjadi kesukaan pelanggan setia kami ialah ‘Garlic Butter Prawn Sandwich’. Rasa manis udang memang serasi dengan kombinasi lemak mentega yang diperisakan dengan bawang putih.

“Nyata apabila dihidangkan sebagai inti roti, ia sangat seimbang. Kini kami memperkenalkan cita rasa baru iaitu ‘Soft Shell Crab Sandwich’ untuk penggemar hidangan laut. Ia juga mendapat maklum baik daripada pelanggan.

“Buat mereka yang sukakan cita rasa hidangan pedas, Spicy Seafood Aglio Olia mampu memenuhi selera mereka. Minuman pula kami memperkenalkan ‘infused water’ iaitu minuman yang membantu menyingkirkan toksin dari dalam tubuh. Ia membabitkan campuran buah bersama ramuan tertentu. Bagi minuman panas, kami sarankan mereka mencuba salted caramel latte yang baik untuk kesihatan.

“Keseluruhan hidangan yang kami sediakan mengikut spesifikasi hidangan sihat dan bersesuaian untuk mereka yang ingin mendapat makanan lebih sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:01 AM