London: Penjaga gol kebangsaan Perancis Hugo Lloris, 28, dan rakan senegaranya, Benjamin Stambouli, 24, antara pemain kelahiran Perancis yang mencipta nama bersama kelab Liga Perdana Inggeris.

Dua pemain yang mewakili Tottenham Hotspur itu tidak pernah menjangka akan beraksi dalam satu pasukan.

Lloris yang dilantik ketua pasukan kebangsaan negaranya, dilabel antara barisan penjaga gol terbaik Eropah ketika ini.

Pemain kelahiran Nice, Perancis itu berkongsi misi sama iaitu mahu meletakkan pasukannya di kedudukan terbaik selain mengidam untuk mendakap sekurang-kurangnya satu trofi.

“Sebagai pemain, saya akan sentiasa memberikan prestasi terbaik ketika beraksi. Malah, sejak tiba di sini dua tahun lalu, pasukan kami sentiasa dibarisi pemain muda, berbakat dan berpotensi,” katanya yang pernah bercita-cita menjadi pemain tenis suatu masa dulu.

Lloris yang mengagumi bakat legenda Perancis, Zinedine Zidane turut menaruh kepercayaan kepada jurulatih Mauricio Pochettino yang berjaya mencorak Spurs menjadi antara pencabar utama Liga Perdana Inggeris.

Bagi Stambouli pula, dia menyedari tekanan besar dihadapi pemain melaksanakan sasaran pasukan selain memikirkan harapan peminat terhadap skuad The Lilywhites itu.

“Kami perlu berusaha keras memastikan pasukan berada pada tahap terbaik. Setiap pemain bersemangat dan berusaha keras untuk berada pada tahap ini,” katanya.

Stambouli berkata, jika bola sepak bukan profesionnya ketika ini, sudah pasti dia berkhidmat dalam angkatan tentera kerana pernah terbabit dalam pasukan keselamatan itu.

Bekas pemain kelab Montpellier itu berkata, latihan dalam tentera menjadikannya seorang pemain berdisiplin selain mengutamakan kecergasan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:25 AM