Kangar: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menganggap Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terbunuh dalam nahas helikopter petang semalam sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.

“Kemalangan ini sangat mengejutkan dan tidak diduga sama sekali.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai takdir Allah SWT. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” kata Azlan.

Beliau ditemui selepas merasmikan penutupan Program Eksplorasi Kemahiran dan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Utara di Dewan 2020 di sini, hari ini. Abdul Wahid pula menyampaikan ucaptama program itu.

Azlan turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman.

Sementara itu Abdul Wahid berkata kali terakhir beliau bercakap dengan Allahyarham melalui telefon, pada 2.40 petang semalam.

“Kami bekerjasama rapat dalam JPM (Jabatan Perdana Menteri) dan kerap berbincang dalam perkara yang ada kepentingan negara.

“Allahyarham adalah insan yang berjasa kepada negara dan kematiannya merupakan kehilangan kepada kerajaan dan negara,” kata Abdul Wahid.

Helikopter yang dinaiki Allahyarham Jamaluddin meletup di udara sebelum terhempas di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Hulu Langat, Selangor, 4.55 petang semalam, mengorbankan enam orang.

Lima lagi yang terkorban ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; juruterbang helikopter, Kapten Clifford Fournier; pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan pembantu operasi, Aidana Baizieva. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 4:39 PM