SYARUDDIN
ANAK Allahyarham, Aishah Maryam menyiram air mawar ke atas pusara bapanya. FOTO NSTP
Oleh Gaddafi Musli


Kajang: "Allahyarham telefon saya jam 1.30 petang hari kejadian minta saya balik dulu sebab Tan Sri JJ (Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis) ajak dia naik helikopter," kata pemandu peribadi Allahyarham Datuk Azlin Alias, Syaruddin Shariff, 36.

Dia yang sebelum itu menghantar Allahyarham ke majlis perkahwinan di Pekan, Pahang dari Kuala Lumpur kemudian diminta untuk menunggu di tempat pendaratan helikopter Kelab Golf & Resort Mines, Seri Kembangan.

Syaruddin yang memandu seorang diri tiba di kelab berkenaan kira-kira jam 4.30 petang untuk mengambil Allahyarham.

"Saya dimaklumkan mereka akan mendarat kira-kira jam 5.15 petang namun setelah menunggu selama sejam saya mula berasa tidak sedap hati.

"Tiba-tiba ada maklumat daripada rakan-rakan mengatakan sebuah helikopter berwarna merah terhempas di kawasan Kajang," katanya ketika ditemui di majlis pengebumian Allahyarham Datuk Azlin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 13, di sini.

Dalam keadaan terkejut, Syaruddin kemudian mendapatkan pengesahan mengenai kejadian berkenaan daripada rakan-rakannya sebelum bergegas ke rumah Allahyarham.

"Ketika menerima pengesahan saya tergamam sebentar. Saya tak sangka itu perbualan telefon terakhir dengan Allahyarham," katanya yang sudah berkhidmat selama empat tahun.

Menurutnya Allahyarham yang dikenalinya adalah seorang yang amat disenangi oleh semua kakitangan kerana sifat mesra dan mudah bergaul dengan orang tanpa mengira pangkat.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri itu, bersama Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis maut dan lima yang lain maut apabila helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) dinaiki terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 8:21 PM