BERSAMA kelaurga yang banyak memberi semangat dan
Oleh Hidayahtul Akmal Ahmad


Tanpa sebarang simp-tom atau rasa sakit, Justinah Suntin, 35, tidak menyangka dia akan didiagnos kanser payudara tahap dua, tiga tahun lalu. Tanpa menduga ketulan keras pada payudara sebelah kanan yang dikesan ketika mandi adalah permulaan episod dirinya meneruskan hidup sebagai 'survivor' kanser payudara.

Hanya dalam tempoh selepas seminggu, Justinah berjumpa doktor untuk menjalankan ujian ultrasound di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia sebelum diarahkan membuat ujian lanjut di hospital.

"Ketika disahkan menghidap kanser payudara tahap dua, saya terpaku seketika sebelum menangis. Ketika itu dunia menjadi gelap dan saya seakan tidak berpijak pada bumi.

"Sedih sangat memikirkan nasib anak, keluarga serta masa depan. Doktor mengesyorkan saya menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanan (mastectomy) secepat mungkin. Saya mula risau dan takut memikirkan nasib anak-anak yang masih kecil serta suami," katanya kepada Metro Ahad.

Menurut Justinah, disebabkan menggunakan kad perubatan majikan, dia mendapatkan nasihat daripada pihak majikan terlebih dulu dan mendapatkan nasihat daripada doktor pakar lain.

"Ada juga menasihati saya mendapatkan rawatan alternatif. Sebagai seorang yang praktikal, saya yakin kaedah rawatan barah pada masa kini sudah semakin canggih dan maju di Malaysia.

"Selepas berfikir, saya mengambil keputusan menjalani pembedahan membuang ketulan pada payudara (lumpectomy) di Hospital Pantai Bangsar, Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, pembedahan berjaya dan saya bersyukur semua ahli keluarga terutama suami, ibu serta anak-anak memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi," kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Lebih mengharukan, semua ahli keluarga berada di sisi setiap kali Justinah menjalani rawatan kemoterapi (empat kali setiap tiga minggu dan 12 kali setiap seminggu) serta radioterapi (33 kali setiap hari).

Teman sepejabat, sahabat jauh dan dekat memberikan kata-kata semangat menerusi Facebook(FB) dan aplikasi sosial yang lain juga sangat membantu dia untuk pulih.

"Ketika kita sakit atau dalam keadaan tidak yakin, sokongan daripada orang tersayang adalah sangat penting sebagai bekalan untuk meneruskan kehidupan. Saya juga berterima kasih kepada majikan yang memberikan saya cuti sakit berbayar selama sembilan bulan.

"Syukur saya tidak pernah berhenti mendapat sokongan moral daripada orang tersayang yang memberi perangsang meneruskan kehidupan seperti manusia normal lain," katanya.

Bercerita mengenai sejarah keluarganya, Justinah berkata, dia tidak mempunyai genetik kanser payudara dalam ahli keluarganya tetapi ibunya pernah dua kali membuat pembedahan kecil untuk membuang ketulan bukan barah pada payudara.

"Sebelum ini saya hanya mendengar orang bercerita mengenai kanser payudara saja. Tetapi selepas didiagnos, saya lebih peka dan ambil tahu mengenai penyakit ini.

"Jika sebelum ini saya bukanlah seorang yang menitikberatkan soal kesihatan. Saya kurang bersenam dan suka makanan segera. Sejak disahkan menghidap kanser payudara, saya menukar gaya hidup. Saya berjinak-jinak dengan aktiviti larian di sekitar Lembah Klang. Larian 10 kilometer saya yang pertama pada 14 September lalu iaitu, Lion Parkson Run 2014," katanya.

Sementara itu, Perunding Bedah Hospital Pantai Klang, Dr Shalizan Torman berkata, sehingga kini punca sebenar pembunuh utama dalam kalangan wanita itu masih tidak diketahui.

"Di Malaysia, 52.3 peratus kes kanser payudara melanda wanita bawah usia 50 tahun manakala lebih satu pertiga adalah mereka yang dalam golongan pramenopaus.

"Tidak ambil kisah dan suka mendapatkan rawatan pada saat akhir antara faktor yang mendorong ramai wanita menderita kanser payudara sedangkan penyakit itu boleh dicegah dengan cara yang betul," katanya.

Kanser payudara terjadi apabila sel kanser berkembang daripada tisu payudara. Tanda penyakit termasuk ketulan dalam payudara, perubahan pada bentuk, lekuk pada kulit, cecair daripada puting atau kesan tompok merah bersisik.

Antara faktor meningkatkan risiko mendapat kanser ini ialah obesiti, kurang melakukan aktiviti fizikal, minum alkohol, merokok serta individu yang datang haid pada usia awal. Lima hingga 10 peratus pula adalah berkaitan faktor genetik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:07 AM