ANTARA babak menarik drama baru Puteri Bukan Nama Sebenar di TV3.
ANTARA babak menarik drama baru Puteri Bukan Nama Sebenar di TV3.
ANTARA babak menarik drama baru Puteri Bukan Nama Sebenar di TV3.

Takdir menemukan dua insan yang memiliki wajah seiras, tetapi haluan hidup mereka berbeza.

Bagaimanapun, satu tragedi berlaku terhadap Laila yang bakal mengubah kehidupannya.

Kisah itu disampaikan menerusi drama bersiri baru 13 episod berjudul Puteri Bukan Nama Sebenar yang kini bersiaran di slot Zehra TV3 setiap Jumaat, jam 9 malam.

Drama terbitan Filmscape itu diarahkan Azma Aizal Yusoof manakala skrip nukilan Eenaz Mokhtar.

Ia dibintangi pelakon Syarul Ridzwan dan Cristina Suzanne.

Kisah Puteri Bukan Nama Sebenar mengenai Laila ibu tunggal dan mempunyai anak berusia tiga bulan bernama Adam.

Dia terpaksa meninggalkan rumah akibat diancam bekas suami yang kuat berjudi dan suka berhutang.

Suatu hari, Laila berkenalan dengan wanita bernama Puteri yang wajahnya seiras dengannya.

Puteri pula sarat mengandung mahu bertemu dengan keluarga suaminya di Kuala Lumpur. Wanita itu berkahwin dengan Mikail secara rahsia kerana keluarga suaminya sudah mempunyai calon pilihan iaitu Alisha.

Malangnya, bas ekspres yang dinaiki Laila dan Puteri terbabit dalam kemalangan. Puteri dan kandungannya terkorban dan Laila membuka beg tangan wanita itu untuk mendapatkan alamat rumah mertua.

Laila dianggap sebagai Puteri selepas ibu Mikail, Zarina melihat cincin dan rantai yang dibawa oleh Laila. Dia cuba berterus-terang, tetapi tidak sampai hati berikutan wanita itu baru kehilangan tiga insan.

Sementara itu, Laila yang terus menyamar sebagai Puteri mula rapat dengan abang Mikhail iaitu Mirza.

Namun sebelum Mirza sempat mengungkap cintanya kepada Puteri, mereka sekeluarga dikejutkan dengan berita yang Mikail masih hidup dan akan pulang ke tanah air.

Apabila rahsia Laila terbongkar, masihkah ada cinta dan kebahagiaan untuk dia?

Ikuti kisah hidup Laila pada setiap Jumaat jam 9 malam di saluran TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:17 AM