WAN Sabri (kiri) memberi penerangan kepada tenaga pengajar dalam bidang herba di depan KKTM Lenggong.
Oleh D J Dolasoh


Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Lenggong, Perak menjadi perintis melahirkan pakar dalam bidang herba dan hasilan semula jadi tidak lama lagi.

Pengambilan pertama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk yang baru diumumkan, baru-baru ini, menawarkan tiga program di peringkat diploma iaitu Diploma Herba Dan Hasilan Semulajadi (Perubatan), Diploma Herba dan Hasilan Semulajadi (Penjagaan Kesihatan) dan Diploma Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Logi.

Sebagai perintis, 60 pelajar pertama akan diambil mengikuti kursus ditawarkan.

Pengarah KKTM Lenggong, Wan Sabri Wan Ismail berkata, kolej yang baru siap dibina di Kampung Cherakoh, Raban itu adalah yang pertama di negara ini dalam bidang herba dan hasilan semula jadi.

“Selain tiga program yang ditawarkan bagi pengambilan pertama Jun depan, dua program baru berkaitan iaitu Diploma Teknologi Kejuruteraan (Makanan) dan Diploma Teknologi Reka Bentuk Pembungkusan ditawarkan tahun depan.

“KKTM Lenggong me­ngadakan program ini berdasarkan prospek masa depannya yang mempunyai nilai komersial,” katanya.

Sempena pengambilan pelajar baru itu, KKTM Lenggong mengadakan Program Motivasi Membara Haluan Pewaris dihadiri kira-kira 150 pelajar lepasan SPM.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Lenggong yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Wan Sabri berkata, KKTM Lenggong berhasrat melahirkan usahawan dalam bidang herba dan perubatan berasaskan tumbuhan kerana kajian mendapati ia berkesan untuk perawatan dan mencegah penyakit.

Seramai 16 tenaga pengajar pakar dalam bidang herba disediakan pada pengambilan baru ini dan permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web: http://apponline.mara.gov.my/spupim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 10:39 AM