BRITTANY (tengah) ceria bersama trofi kemenangannya.
BRITTANY (tengah) ceria bersama trofi kemenangannya.

Rancho Mirage, AS: Brittany Lincicome meraih kejuaraan utama kedua apabila melakukan par pada lubang ketiga play-off sekali gus memenangi kejohanan ANA Inspiration semalam dengan mengatasi rakan senegara dari Amerika Syarikat (AS), Stacy Lewis.

Brittany melakukan pukulan kedua menakjubkan pada lubang terakhir play-off kemudian mudah menolak masuk bagi merangkul kejuaraan utama pertama Jelajah LPGA AS tahun ini dan menamatkan kemarau kejuaraan hampir empat tahun.

“Terlalu terharu ketika ini,” kata Brittany. “Saya berdiri di sini bergetar seperti daun. Ia sudah berakhir dan saya masih menggigil. Ia menunjukkan betapa anda terlalu gementar.”

Brittany turut memenangi kejohanan itu pada 2009 bagi kejuaraan utama tunggalnya. Dia mencipta kedua-dua kemenangan itu dengan membenam eagle pada lubang ke-72 kejohanan di Mission Hills Country Club.

Brittany mencatat tiga bawah par 69 pada pusingan akhir untuk berkongsi kedudukan bersama Stacy dengan sembilan bawah par 279.

Stacy mengejar pada sembilan lubang terakhir dan mengatasi pendahulu pusingan ketiga pemain rookie Korea Selatan, Kim Sei Young. Stacy mencatat dua bawah par 70 semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:23 AM