Jika tiada yang lama maka tiadalah yang baru.

Aktres veteran, Waheeda Rehman, 72, masih terkenang-kenang zaman kegemilangannya dulu ketika era 50-an dan 60-an.

Baru-baru ini, Waheeda dijemput menghadiri satu program temubual bersama penerbit filem Brahmanand Singh untuk mengimbas semula perjalanan kerjaya seninya.

Cerita Waheeda, ketika dia mula berlakon dulu, produser dan pengarah filem terkenal pada era 50-an dan 60-an, Vasanth Kumar Shivashankar Padukone atau lebih dikenali dengan panggilan Guru Dutt, berasakan yang dia terlalu muda untuk berlakon sebagai isteri dalam filem arahan Guru Dutt berjudul Sahib Bibi Aur Ghulam.

"Sekarang apabila saya fikir semula, memang betul kata Guru Dutt. Dia seorang pembikin filem dan pengarah yang luar biasa di mana dia sanggup hantar pengarah sinematografi VK Murthy ke London untuk melihat penggambaran filem Guns of Navarone dan belajar teknik penggambaran yang mereka gunakan.

"Guru Dutt adalah pembikin filem yang spontan dan mahu melakukan hanya yang terbaik untuk setiap filem terbitan dan arahannya," katanya.

Waheeda juga terkenang ketika dia menjalani penggambaran filem Guide dengan aktor Dev Anand.

"Saya suka sangat dengan filem itu. Jalan ceritanya 'evergreen' dan wataknya ada pelbagai karektor. Saya juga diberi amaran jangan mengambil watak perempuan yang sudah berkahwin atau ada skandal," katanya.

Dengan peredaraan zaman, Waheeda masih tidak dapat memisahkan dirinya dengan dunia perfileman di mana dia masih aktif berlakon dalam filem Hindi, Telegu dan Benggali.

Antara filem lakonannya, Om Jai Jagadish, Water, Maine Gandhi Ko Nahin Mara, 15 Park Avenue, Rang De Basanti, Chukkallo Chandrudu, Delhi 6, Love in Bombay, Vishwaroopam 2, Vishwaroop 2 dan Arshinagar.

"Sukar untuk saya lupakan industri perfileman Bollywood kerana saya membesar sebagai anak seni seawal usia 16 tahun. Kisah dan sejarah hidup saya bermula di Bollywood," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 9:07 AM