mutakhir

7 termasuk Shabudin berdepan dakwaan salah laku

Oleh Siti Sofia Md Nasir

TUJUH pihak termasuk bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Datuk Shabudin Yahaya berhadapan tindakan undang-undang atas salah laku pembelian, penjualan, dan usaha sama hartanah di bawah harga pasaran.

Pengerusi PERDA, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pihak lain adalah syarikat pemaju dan ahli lembaga pengarahnya.

Katanya, semua salah laku itu membabitkan empat projek hartanah dengan jumlah keluasan tanah 36.84 hektar dan anggaran kerugian sebanyak RM57.8 juta.

Beliau berkata, perkara itu dibongkar menerusi siasatan yang dilakukan sejak 5 Januari lalu terhadap 15 fail PERDA yang bermasalah.

“Kami menemui sebanyak 15 fail membabitkan pelbagai projek dan program yang meragukan dan perlu siasatan lanjut.

“Namun, hanya empat fail yang sudah dikenal pasti dan kini sudah dibawa ke peringkat perundangan, ini bagi memastikan hartanah terbabit diperoleh semula atau menuntut ganti rugi serta pampasan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PERDA di Butterworth, hari ini.

Empat projek hartanah itu adalah di Tok Keramat, Nibong Tebal membabitkan tanah seluas 3.79 hektar; Sungai Baong Jawi (2.35 hektar); tanah di Simpang Tiga, Tasek Gelugor (18.4 hektar); dan di Pantai Teluk Bayu, Teluk Kumbar seluas 12.3 hektar.

Mohamed Haniff berkata, dua daripada empat projek itu sudah pun difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 13 dan 14 Februari lalu.

Katanya, dua projek yang difailkan itu adalah bersabit dakwaan penjualan tanah di bawah harga pasaran di Tok Keramat dan di Sungai Baong.

“Urusan jual beli tanah di Tok Keramat dilakukan pada 24 Jun 2015, manakala di tanah Sungai Baong dibuat pada 6 Mei 2015.

Mohamed Haniff berkata, dua hartanah lain adalah membabitkan urusan pembelian dan usaha sama perjanjian pengurusan projek oleh anak syarikat PERDA iaitu, PERDA Ventures Incorporated Sdn Bhd (PVI).

Sehubungan itu, katanya, PERDA menggantung semua urusan pengurusan PVI sehingga siasatan selesai, dan ia akan diambil alih lembaga pengarah interim PERDA.

“Kita dapati ada beberapa ketika PERDA sudah lari daripada fokus dan tanggungjawabnya, iaitu kepentingan sosial ekonomi masyarakat kepada pembangunan hartanah semata-mata, sedangkan ia bukan sebegitu,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Shabudin yang baharu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohamed Haniff berkata, pihaknya tidak akan mencampuri sebarang urusan politik.

“Berkenaan isu politik, ia bukan urusan PERDA dan walau apa pun kita tidak akan berhenti ambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didakwa bertanggungjawab, kerana kami bukan entiti politik,” katanya.

Untuk rekod, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dilantik sebagai Pengerusi PERDA pada Jun 2013 sehingga Jun tahun lalu, sebelum beliau menyertai BERSATU, Selasa lalu.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 6:34pm
d