MINAT muzik country sejak awal pembabitannya dalam muzik.
Susunan Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my


Penyanyi Aerosmith, Steven Tyler mengesahkan dia bakal tampil dengan album solonya selepas menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman terkenal Big Machine Label Group, baru-baru ini.

Apa yang menarik, Tyler yang sinonim dengan muzik hard rock, blues rock dan heavy metal bersama Aerosmith akan menghasilkan album bergenre country.

“Saya mula bekerjasama dengan beberapa penulis lagu country yang hebat dan bersedia dengan stail dan ‘groove’ yang mereka hasilkan.

“Dulu, saya banyak terpengaruh dengan muzik country daripada The Everly Brothers dan Carter Family. Saya pasti ia album yang sangat menarik nanti,” katanya.

Difahamkan, Tyler sudah bekerjasama menghasilkan lagu dengan Brett James yang menghasilkan lagu Carrie Underwood iaitu Cowboy Casanova dan Jesus Take The Wheel.

Ini termasuk bersama penyanyi Cadillac Three, Jaren Johnston yang pernah menghasilkan lagu untuk Keith Urban dan Eric Church.

Tyler mendedahkan dia berminat untuk merakamkan album genre country ketika ditemu bual Twitter Music di ibu pejabat Twitter di San Francisco, Amerika Syarikat, Oktober tahun lalu.

Pemilik Big Machine Label Group, Scott Borchetta berkata, keputusan Tyler menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman itu membuatkan dia teruja dan ia satu keputusan yang tepat.

“Saya belum pernah berjumpa dengan seseorang yang begitu bersemangat seperti Tyler. Saya tak sabar untuk mendengar fenomena muzik yang dihasilkannya nanti.

“Saya dapat rasakan ini adalah masa terbaik untuk karier Tyler,” katanya.

Bersama Aerosmith, Tyler menghasilkan 15 album studio selain beberapa single solo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 12:17 PM