ROHANI bergambar bersama peserta Persidangan Serantau Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Secara Dalam Talian.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Semakin sukar melihat senario kanak-kanak berpeluh dan menjerit bermain permainan tradisional seperti ting-ting atau kejar mengejar antara satu dengan lain ketika waktu petang.

Suasana riuh rendah dengan jeritan gembira menghabiskan masa terluang dengan aktiviti riadah bukan lagi menjadi aktiviti pilihan kanak-kanak kini yang kebanyakannya lebih leka menghadap gajet tanpa menghiraukan perkemba­ngan yang berlaku di sekeliling mereka.

Kesibukan ibu bapa dengan tuntutan rutin harian juga menyebabkan sesetengahnya melihat tablet, telefon pintar, komputer riba dan kemudahan gajet lain sudah cukup untuk memenuhi keperluan anak mereka.

Pemberian alatan elektronik itu pada hakikatnya bukanlah satu kaedah terbaik dalam proses pembesaran kanak-kanak kerana mereka mungkin terdedah kepada pelbagai risiko yang tidak diingini, apatah lagi jika penggunaan gajet dan akses Internet tidak dipantau.

Hakikatnya, kebergantungan terlalu lama terhadap alam siber membuatkan kanak-kanak menanggung risiko ketagihan Internet, terdedah kepada bahan pornografi, eksploitasi diri, buli siber, keganasan, penderaan dan penipuan dalam talian.

Pun begitu tidak dinafikan Internet berupaya meningkatkan inovasi dan mengasah kemahiran intelektual, namun masyarakat tetap bimbang mengenai pengaruh negatif dan risiko Internet kepada anak mereka khususnya yang masih belum pandai membezakan antara baik dan buruk.

Naluri ingin tahu kanak-kanak membuatkan mereka mahu menerokai dunia baru, namun bagi sesetengah kes, penggunaannya tidak patut disekat kerana teknologi penting untuk memanfaatkan kepintaran kanak-kanak dan menggalakkan potensi diri.

Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menganjurkan persidangan bagi membincang isu itu, baru-baru ini.

Persidangan Serantau Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Secara Dalam Talian: Ke Arah Pendekatan Bersepadu itu disertai lebih 300 delegasi dari Malaysia, Laos, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Baik buruk Internet

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Ma­syarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ramai ibu bapa yang menganggap lebih baik anak mereka melayari Internet di rumah daripada keluar berpeleseran tanpa arah tujuan.

“Ibu bapa sepatutnya melihat laman yang dilayari adakah ia sesuai dan ini mengekang anak daripada menyalah gunakan kemudahan yang disediakan dalam rumah.

“Kadangkala anak tidak tahu baik buruk Internet. Mereka masih naif, mudah dipengaruhi dan terlalu mudah mendedahkan identiti diri apabila diminta berbuat demikian,” katanya ketika perasmian persidangan itu.

Seperti termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak wajar dilindungi dalam pelbagai aspek. Justeru kerajaan mewujud­kan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Dunia Siber (PTCOP) bagi menangani ancaman siber berkenaan.

PTCOP diluluskan Kabinet pada 11 Februari lalu dan KPWKM dipertanggung­jawabkan menerajui pelan tindakan itu. Turut terbabit dalam usaha itu ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, SKMM dan Polis Diraja Malaysia.

Rohani berkata, empat objektif itu yang digariskan dalam PTCOP ialah tindakan advokasi, pencegahan, intervensi dan khidmat sokongan daripada pelbagai pihak.

“Pelan tindakan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini bertujuan menangani ancaman siber, sekali gus mematuhi standard kebangsaan berkenaan perlindungan kanak-kanak dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, capaian jalur lebar yang semakin mudah sememangnya membawa banyak manfaat.

Bagaimanapun, ibu bapa dan anak perlu mempersiap­kan diri supaya tidak menjadi mangsa keganasan siber berikutan ketika ini Malaysia merekodkan 17.5 juta pengguna Internet.

Katanya, penggunaan Internet secara positif penting bagi selari dengan matlamat dasar negara yang terkandung dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggalakkan pengguna melayari kandungan bersesuaian.

“Jadi kita tahu ibu bapa, kanak-kanak atau sesiapa saja tidak menjadi mangsa buli siber di mana mereka diganggu menerusi bahan pornografi, mesej lucah daripada aplikasi laman sosial, diugut atau sebagainya.

“Kita mahu generasi muda dididik dengan nilai moral, berintegriti dan memanfaatkan kemudahan dengan berhemah tanpa sebarang penyalahgunaan laman sosial atau Internet,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Jangkauan dan Penglibatan SKMM Eneng Faridah Iskandar berkata, Internet adalah medium yang kerap berubah selain sukar untuk mengawal penggunaannya secara keseluruhan.

“Oleh itu, SKMM menggunakan pendekatan mendidik seperti program Klik Dengan BijakTM (KDB) yang dilancarkan pada Julai 2012 bagi memupuk budaya melayari Internet secara positif di samping mengingatkan peng­guna supaya berhati-hati dengan jenayah siber.

“Hanya sebilangan kecil aduan salah guna yang diterima SKMM membabitkan kanak-kanak, tetapi apa yang boleh dilakukan adalah menyalurkan nasihat bagaimana mahu mengendalikan kes itu.

“SKMM menubuhkan biro aduan untuk menerima dan mengendalikan aduan berhubung perkhidmatan komunikasi dan multimedia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 1:01 PM