Baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 23 kompaun berjumlah RM1.01 juta kepada syarikat telekomunikasi utama berhubung isu panggilan terputus dan pendaftaran bagi pengguna prabayar.

Bagi isu panggilan terputus, jumlah kompaun yang dikenakan membabitkan DiGi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) berjumlah RM180,000, Maxis Mobile Services Sdn Bhd (Maxis) sebanyak RM170,000 dan Celcom Axiata Berhad (Celcom) iaitu RM130,000.

Manakala bagi isu pendaftaran pengguna prabayar, jumlah kompaun yang dikenakan termasuk Celcom (RM200,000), Maxis (RM150,000), U Mobile Sdn Bhd (RM100,000), Tune Talk Sdn Bhd (RM70,000) dan XOX Com Sdn Bhd (RM10,000).

Dalam kenyataanya, SKMM berkata, mereka tegas dalam isu pendaftaran pengguna prabayar kerana terdapat insiden yang mana maklumat peribadi orang lain digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah.

Selain 23 kompaun yang dikeluarkan bagi isu panggilan terputus dan pendaftaran pengguna prabayar itu, SKMM turut mengeluarkan dua kompaun kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) dan Maestra Broadcast Sdn Bhd (Maestra) bagi kesalahan melanggar peruntukan di bawah Kod Kandungan dan syarat lesen.

Astro dikenakan kompaun berjumlah RM10,000 kerana melanggar Peruntukan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Bahagian 3: Iklan di sub perenggan 5.1, 5.2 dan 8.1 serta Syarat Standard 6 Lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (Individu) CASP(I).

Astro didapati menyiarkan rancangan bual bicara mengenai produk kesihatan untuk penyakit yang dilarang daripada diiklankan di bawah peruntukan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Maestra pula dikenakan kompaun berjumlah RM20,000 kerana melanggar Syarat Khas Lesen No. 10.2 CASP (i) dan Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Radio Era FM yang beroperasi di bawah Maestra telah melakukan kesalahan dengan menyiarkan kandungan yang menyinggung perasaan umat Islam pada bulan Ramadan tahun lalu

Sepanjang 2014, SKMM mengeluarkan sebanyak 70 kompaun berjumlah RM2.84 juta atas pelbagai kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 1:05 PM