KERJA luar memerlukan telefon berbanding PC.
KERJA luar memerlukan telefon berbanding PC.
TELEFON pintar banyak fungsi.
TELEFON pintar banyak fungsi.
WAKTU pejabat kini dalam peranti mudah alih.
WAKTU pejabat kini dalam peranti mudah alih.
PENGGUNAAN PC makin merudum.
PENGGUNAAN PC makin merudum.
Oleh Afiq Hanif


Baru-baru ini, International Data Corporation (IDC), agensi penyelidikan pasaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) meramalkan permintaan terhadap telefon pintar terus meningkatkan sehingga 27 peratus tahun ini meskipun Malaysia baru melaksanakan GST yang mengakibatkan harga peranti naik sehingga enam peratus.

Manakala pasaran tablet pula dijangka tumbuh tiga peratus, tetapi pasaran PC secara keseluruhan akan berkurangan sehingga 1.3 peratus setiap tahun sehingga 2019.

Kaedah tenaga kerja moden yang banyak menghabiskan kerja di luar pejabat membolehkan pasaran telefon pintar lebih popular.

Penyelidik Peranti Klien IDC Asia Pasifik, Jensen Ooi berkata, pada tahun ini, pertumbuhan telefon pintar dan tablet dalam pasaran kekal positif meskipun dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Ia banyak didorong oleh permintaan, telefon pintar akan kekal peranti pintar yang dominan dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 27 peratus manakala tablet akan berkembang sebanyak tiga peratus di Malaysia,” kata Ooi.

Manakala penganalisis pasaran yang khusus bagi pasaran PC Malaysia bagi IDC Asia Pasifik, Ng Juan Jin pula berkata, permintaan PC di Malaysia dijangka mencecah 2.2 juta komputer peribadi pada tahun 2015.

“Namun ia menyaksikan penurunan secara purata sebanyak 1.3 peratus tahun ke tahun sehingga 2019.

“Walau bagaimanapun, ia masih prospek yang lebih baik hasil daripada pertumbuhan perlahan tablet dan sektor awam serta perbelanjaan syarikat yang dialami,” katanya.

Pada tahun 2014, hampir 10 juta unit peranti pintar dibawa masuk ke negara ini dengan telefon pintar mengatasi tablet dengan nisbah hampir 4-1.

Corak penggunaan pengguna dan permintaan perkakasan disokong pertumbuhan kukuh sebanyak 40 peratus tahun ke tahun untuk telefon pintar manakala tablet yang ber­ada pada tahap yang baik pada 2013 menurun seba­nyak 5.4 peratus tahun ke tahun.

Dalam data yang dikeluarkan melalui laporan bertajuk IDC Asia/Pacific Mobile Phone Tracker 2014Q4 and IDC Asia/Pacific Tablet Tracker 2014Q4, ia menunjukkan keadaan pasaran di Malaysia mengalami perubahan dengan beberapa pengeluar dari China dan global datang untuk bermain dengan harga peranti yang agresif dan spesifikasi boleh diterima, sekali gus membuka mata pengguna di negara ini.

Lebih mengejutkan, laporan terbabit menunjukkan jumlah telefon pintar yang dijual di bawah harga RM800 meningkat dua kali ganda sejak 2013.

Manakala telefon pintar dengan saiz skrin antara 4”- 5.5” juga bertambah dua kali ganda apabila rakyat Malaysia mula menghargai manfaat mempunyai skrin yang lebih besar untuk kegunaan harian.

Selaras dengan populariti membaca yang semakin meningkat, pengguna peranti dengan saiz skrin yang lebih besar atau dikenali phablet (5.6”- 6.9”) mula menampakkan peningkatan menakjubkan iaitu pertumbuhan sebanyak 68 peratus tahun ke tahun.

Pertumbuhan tablet bagaimanapun kurang kukuh walaupun terdapat tablet yang lebih murah dengan harga jualan sekitar RM300 hingga RM1,000 yang selalunya meningkat tahun ke tahun. Walau bagaimanapun, jualan tablet dengan keupayaan selular meningkat sebanyak 89 peratus tahun ke tahun dan tablet dengan saiz skrin yang lebih kecil meningkat sebanyak 15 peratus tahun ke tahun berbanding yang lebih besar.

“Ia jelas menunjukkan terdapat perubahan dalam apa yang rakyat Malaysia mahu apabila ia membabit­kan peranti pintar.

“Walaupun pengguna masih mementingkan bajet, rakyat Malaysia ingin kekal berhubung dan pada masa yang sama berusaha untuk menjadikan peranti yang memberikan mereka satu tahap tontonan dan selesa apabila digunakan,” kata Ooi.

Tambahnya, perkakasan ini tidak semestinya perlu menjadi gajet mewah, tetapi hanya perlu cukup baik untuk menyokong pelbagai keperluan mereka seperti menyemak web, mesej, permainan dan menonton video.

Berkemungkinan besar, peranti pintar akan terus berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sekali gus menjadikan rakyat Malaysia lebih berhubung dan mengetahui pelbagai keperluan mereka apabila membeli peranti.

IDC meramalkan lebih banyak vendor yang terdapat di pasaran sama ada tempatan dan asing cuba untuk mempelbagaikan produk yang memanfaat­kan permintaan pengguna.

Kerajaan pula akan terus memainkan peranan yang besar dengan pelbagai inisiatif untuk menyediakan insentif atau pelan panggilan murah untuk pasaran tempatan terutamanya untuk pelajar atau golongan berpendapatan rendah.

Laporan sama turut me­nyentuh pasaran PC tempatan yang menyaksikan sejumlah 2.2 juta unit yang dipasarkan di Malaysia yang membabitkan pasaran komersial dan pengguna.

Pasaran komersial hanya melihat perniagaan seperti biasa dan fulfillments. Manakala bagi pasaran pengguna, ia mencerminkan sifat persaingan jualan PC dengan beberapa pemain mula memasuki pasaran di tengah-tengah serangan telefon dan tablet.

IDC turut menjangkakan GST memberi kesan negatif kepada pasaran PC tempatan pada suku kedua 2015.

Perbelanjaan pengguna dan komersial dijangka perlahan dan pasaran akan mengambil beberapa bulan untuk menyesuaikan diri dengan cukai baru, tetapi perlu kembali normal pada pertengahan suku ketiga 2015.

Dalam jangka masa panjang, komputer riba masih menunjukkan sedikit penurunan disebabkan oleh persaingan telefon pintar dan tablet. Desktop dijangka kekal rata kerana kitarannya kekal datang daripada segmen perusahaan dan sektor awam.

“Keadaan terkini untuk komputer peribadi di Malaysia nampaknya tidak menjadi positif. Telefon pintar terus bersaing untuk dompet pengguna dan masih terdapat banyak ketidakpastian mengenai kesan GST.

“Bagaimanapun, komputer masih menjadi ikon penting dalam pasaran perkakasan IT sebagai faktor bentuk PC baru sentiasa diperkenalkan di pasaran menunjukkan vendor IT masih mewujudkan nilai dan memacu inovasi,” kata Ng.

Sementara itu, peranti boleh pakai (wearable) menjadi generasi teknologi merubah cara kita hidup dan bekerja.

Walau bagaimanapun, peranti boleh pakai seperti gelang pintar dan jam pintar tidak digunakan secara meluas kerana terdapat keraguan terhadap penggunaannya.

Mengulas mengenai pelaksanaan GST di Malaysia, Pengurus Penyelidikan Kanan Peranti Klien IDC Malaysia, Daniel Pang berkata, pengenalan GST pada peranti pintar yang mempunyai kesan positif ke atas ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang kerana ia akan meningkat­kan kuasa perbelanjaan kerajaan melalui birokrasi dikurangkan dan cukai pematuhan yang lebih tinggi.

“IDC berpendapat akan ada kesan awal kepada kuasa perbelanjaan pengguna kerana banyak negara lain mencatatkan pening­katan dua hingga tiga peratus kadar inflasi apabila memperkenalkan GST,” katanya.

Katanya, pengenalan GST pada peranti pintar perlu merangsang ekonomi melalui hasil dan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi.

“Sama ada kerajaan menyumbang kembali hasil GST ke dalam perkembangan atau pembangunan sektor ICT masih belum dapat dilihat,” kata Pang.

Antara semua peranti, komputer mungkin paling terkesan dengan GST apabila perbelanjaannya di pasaran akan mengalami kelembapan untuk sekurang-kurangnya dua suku tahun ketika syarikat menyesuaikan diri dengan skim baru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 1:30 PM