Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Langat: Jabatan Imigresen Selangor menahan 24 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam satu operasi di sekitar taman perumahan di Tanjung Sepat, di sini, pagi tadi.

Dalam operasi yang bermula kira-kira jam 1 pagi itu, serbuan memberi tumpuan di perumahan yang menjadi tumpuan Pati selepas menerima aduan orang ramai.

Ketua Operasinya Penolong Pengarah Imigresen Selangor Khwaja Banthey Navaz Mohamed Haneef berkata, pihaknya memeriksa 37 Pati di tujuh rumah di taman berkenaan.

"Selepas memeriksa tujuh rumah itu, kami menahan 24 Pati terdiri daripada 22 warga Indonesia, seorang warga India dan seorang Bangladesh.

"Ops Pintu ini tamat sekitar jam 3 pagi. Kami akan meneruskan operasi untuk memastikan negeri ini mencapai sifar kesalahan imigresen dalam kalangan warga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 1:57 PM