AMRI (kanan) dilihat sebagai penyelesai masalah serangan Selangor.
AMRI (kanan) dilihat sebagai penyelesai masalah serangan Selangor.

Kuala Lumpur: Salah sebuah kelab penyokong Merah Kuning, Anak Selangor Fan Club (ASFC) mahu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berusaha mendapatkan khidmat penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mohd Amri Yahyah pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) yang sedang berlangsung ketika ini.

Anak jati Selangor berusia 34 tahun itu meninggalkan Selangor tahun lalu bagi menyertai Harimau Selatan selepas mula mewakili Merah Kuning sejak 2001 dan meraih pelbagai kejuaraan saingan domestik.

“Amri antara pemain yang kami inginkan untuk kembali beraksi bersama Selangor. Kami sebagai penyokong menginginkan pemain sepertinya, walaupun sudah berumur, kudrat dan kemampuan dimilikinya setanding pemain muda,” kata Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC) Mohd Faizal Wahid.

Faizal menjelaskan nama Amri antara yang dipanjangkan pihaknya ketika mengadakan pertemuan bersama pengurus Selangor Amirudin Shari kelmarin.

“Namun beliau (Amirudin) mengakui usaha mendapatkan Amri akan membabitkan kos jutaan ringgit, satu harga yang amat tinggi namun bagi kami sebagai peminat, ia berbaloi. Bagaimanapun terserah kepada pihak pengurusan untuk cuba merealisasikan dalam jendela perpindahan sekarang,” tambahnya.

Jelas Faizal, FAS boleh berusaha membawa masuk penyerang tempatan berkaliber bagi menampung kegagalan penyerang utama Merah Kuning dari Brazil, Guilherme De Paula yang masih gagal membuktikan dirinya sebagai ‘mesin gol’ untuk Selangor.

“Kami menyuarakan hasrat kepada beliau untuk menukarkan De Paula dalam jendela perpindahan kedua. Beliau ada menyatakan ia membabitkan kos tinggi. Pada masa sama, beliau mengakui De Paula seorang pemain yang rajin namun tidak konsisten menjaringkan gol berbanding Paulo Rangel (bekas penyerang Selangor) walaupun dia malas,” katanya.

Turut diketengahkan adalah berhubung kemudahan di Stadium Shah Alam selain penjualan makanan yang terlalu mahal.

Pertemuan itu dilihat antara usaha berterusan Amirudin dan pihak pengurusan untuk sentiasa prihatin terhadap keperluan dan kehendak penyokong Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 8:37 AM