Alor Setar: Kerajaan negeri serius mengekang penularan ideologi ekstrem yang menjurus ke arah kumpulan militan Negara Islam (IS) termasuk memberi penerangan kepada masyarakat terutama melalui khutbah Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan negeri Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, jawatankuasa khusus akan dibentuk terutama dalam mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, isu berkaitan IS turut meletakkan Kedah dalam radar tumpuan apabila beberapa individu di negeri ini disahkan terbabit dalam pergerakan itu termasuk dua yang terbunuh ketika berjuang di bawah pergerakan militan terbabit.

“Kita ambil contoh Jumaat lalu apabila khutbah Jumaat yang disampaikan di masjid di negeri ini khususnya di Langkawi sudah menerapkan penjelasan terhadap konsep perjuangan IS.

“Itu baru permulaan dan kita akan terus bekerjasama dengan Jabatan Mufti Negeri Kedah dan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) selain Polis Diraja Malaysia untuk memperhalusi teks khutbah berkaitan IS supaya penjelasan terbabit lebih menyeluruh dan mudah difahami masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) di Istana Anak Bukit, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 10:12 AM