Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Kerajaan komited membantu dan membangun sektor pemborong dan peruncit agar tidak ketinggalan dalam arus permodenan walaupun ekonomi negara menghadapi pelbagai cabaran termasuk berdepan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, jumlah jualan industri berkenaan meningkat kepada RM951.2 bilion tahun lalu berbanding RM881.0 bilion tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini petanda baik yang menunjukkan sektor ini merealisasikan sasaran peningkatan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM156 bilion dan bakal mewujudkan 454,190 pekerjaan baru menjelang tahun 2020,” katanya pada Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK) 2015, di sini, semalam.

Tahun 2014 juga mencatatkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 1.3 peratus menjadikan jumlah tersebut 6 peratus daripada 4.7 peratus pada tahun 2013.

“Sebahagian besar daripada peningkatan itu disumbang sektor pemborong dan peruncit yang kukuh sebanyak 9.3 peratus pada suku keempat 2014 dan dilihat sebagai satu industri yang dinamik apabila ia sentiasa berubah mengikut trend dan permintaan semasa pengguna,” katanya.

Dalam usaha untuk mengembangkan sektor berkenaan, Persatuan Peruncit Bumiputra (BRO), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera dibentuk peneraju industri peruncitan bagi menstruktur peluang perniagaan usahawan Bumiputera.

Presidennya, Datuk Khairul Anuar Mohamad Tawi berkata, tujuan organisasi itu ditubuhkan bagi menggalakkan pembabitan usahawan Islam Bumiputera khususnya supaya mampu berkembang maju dan berdaya saing serta beroleh kejayaan di peringkat tertinggi.

“Kami berhasrat membangunkan industri peruncitan dan pemborongan dalam kalangan Bumiputera agar peranan dan kepentingan usahawan mampu memacu ke arah kejayaan Malaysia.

“Untuk memperkasakan ekonomi negara, kami juga mahu memperbanyakkan usahawan Bumiputera dalam segmen ini supaya rakyat Malaysia tidak terlalu bergantung kepada produk asing,” katanya.

Persatuan itu ditubuhkan atas dasar membantu usahawan Bumiputera dari aspek bimbingan seminar dan berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing. Sementara itu, Abdul Wahid turut merasmikan BRO semasa berlangsung majlis tersebut.

Sehingga kini, BRO mempunyai 42 ahli semuanya termasuk Mydin Mohamed Holdings, UO Superstores, Jakel Trading, Habib Jewels, Al Ikhsan dan Les Copaque.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:13 PM