Kuala Lumpur: Sebahagian besar operasi perniagaan Integrax Bhd (Integrax) akan dikekalkan dan tarikh akhir bagi para pemegang saham Integrax untuk menerima tawaran semakan semula Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah RM3.25 sesaham pada 13 April 2015.

Ketua Pegawai Kewangan dan Naib Presiden (Kewangan Kumpulan), TNB, Fazlur Rahman Zainuddin berkata, langkah itu akan menjadikan TNB sebagai pemegang saham terbesar dalam Integrax.

“Sebagaimana dinyatakan dalam dokumen tawaran, sebahagian besar operasi perniagaan (Integrax) akan dikekalkan dan seperti yang diperlukan untuk menyokong loji janakuasa tenaga. Jika ada sebarang perubahan pun, ia hanya kecil,” katanya di luar Mesyuarat Agung Luar Biasa Integrax bagi menimbang cadangan perjanjian penggunaan terminal jeti ketiga (JTUA3) antara Terminal Pukal Lekir (LBT) dan TNB.

Integrax adalah pemilik serta menguruskan Pelabuhan Lumut, Perak, yang merangkumi Terminal Maritim Lumut (LMT) dan LBT.

LBT adalah penyedia tunggal bagi urusan pengendalian arang batu serta perkhidmatan penghantaran bagi stesen janakuasa tenaga Janamanjung manakala LMT mengendalikan kargo pukal kering serta cecair.

Fazlur turut menyuarakan keyakinan TNB untuk melepasi syarat wajib pengambilalihan itu.

Malah, menurut laporan, TNB memperolehi 50.82 peratus bagi tawaran pengambilalihannya dan pemilikan lebih 50 peratus itu menjadikan tawaran yang disemak semula itu sebagai tidak bersyarat. Syarat wajib pengambilalihan itu adalah 90 peratus.

Beliau berkata, merujuk kepada JTUA3, ia akan digunakan bagi pengendalian bekalan arang batu untuk stesen janakuasa Manjung 5 (M5) TNB yang berkapasiti 1,000-megawatt yang dijangka mula beroperasi pada Oktober 2017.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Integrax, Azman Shah Mohd Yusof, pula menyifatkan mesyuarat itu berjalan lancar dan pemegang saham telah meluluskan cadangan berhubung JTUA 3. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:15 PM