PETIKAN daripada rakaman CCTV menunjukkan kejadian ragut berlaku.
Oleh Alias Abd Rani

Kuching: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai meragut beg tangan milik seorang wanita di Taman BDC di sini, selepas video tersebar dan menjadi viral dalam Facebook (FB), petang semalam.

Suspek berusia 21 tahun ditahan di sebuah hotel di bandar raya ini, hasil risikan dijalankan berdasarkan video dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) jam 5.30 petang.

Jurucakap polis berkata, serbuan itu membolehkan polis menemui beberapa barangan dipercayai milik mangsa diragut.

"Turut ditemui wang tunai berjumlah RM600, barang kemas serta jam tangan. Polis tidak menolak kemungkinan barangan ini hasil jenayah ragut dilakukan suspek termasuk di Taman BDC.

"Suspek ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Sentral untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 3:01 PM