Oleh Mohd Firdaus Hashim

Putrajaya: Biarpun mengakui peluang mendapatkan khidmat lima pemain utamanya agak tipis, pengendali skuad ragbi 15 sebelah negara, Lee Nyuk Fah masih menaruh harapan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) memberi kebenaran melepaskan seketika pemain berkenaan bagi membantu pasukannya mengharungi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) bulan depan.

Bukan mahu menidakkan kebolehan pemain lain, namun bagi Nyuk Fah untuk berdepan lawan sukar seperti Taiwan dan Thailand, beliau amat memerlukan sentuhan pemain berpengalaman pada saingan ARC dalam usaha mempertahankan gelaran juara dimenangi di Qatar musim lalu.

“Saya difahamkan mesyuarat antara pengurus pasukan ragbi 15 sebelah dan tujuh sebelah akan diadakan minggu depan bagi menyelesaikan isu ini.

“Masalahnya di sini adalah faktor kecederaan kerana skuad Sukan SEA risau jika pemain berkenaan mengalami kecederaan kerana perbezaan tempoh kejohanan ARC dengan temasya di Singapura itu hanya dua minggu.

“Apapun, sebagai jurulatih saya mahukan pemain yang terbaik. Saya akan menyerahkan kepada pengurus pasukan untuk uruskan perkara ini,” katanya pada Pelancaran Kejohanan Ragbi Piala Crescent (CCRC) 2015 di KBS, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, persiapan skuad ragbi kebangsaan terganggu apabila lima pemain iaitu Adzmir Zeinol Abidin, Fairuz Rahman, Anwarul Hafiz, Suffian Kamil dan Safuwan Abdullah diarahkan KRM menjalani latihan bersama pasukan tujuh sebelah di bawah kendalian, Nik Safuan Ismadi bagi saingan Sukan SEA Singapura Jun ini.

Nyuk Fah yang turut membawa cabaran Malaysia dalam kempen CCRC bermula dari 1 hingga 14 Jun ini di Melaka, percaya anak buahnya bakal memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan itu yang membabitkan pasukan dari negara-negara OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam).

“Kejohanan ini (CCRC) agak berbeza daripada ARC kerana tahap kualitinya kurang sedikit. Namun, kami tidak akan memandang mudah cabaran pasukan lain malah saya akan cuba membariskan pemain terbaik pada kejohanan itu,” katanya yang meletakkan sasaran selaku juara di Melaka nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 9:54 AM