MESSI (kiri) pecah kebuntuan Barca.
MESSI (kiri) pecah kebuntuan Barca.
AFP

Barcelona: Lionel Messi dan Luis Suarez masing-masing menjaringkan gol buat Barcelona, sekali gus membolehkan pendahulu itu kekal empat mata mengatasi Real Madrid di puncak La Liga menerusi kemenangan 4-0 ke atas Almeria, semalam.

Tuan rumah mengambil masa lebih setengah jam sebelum memecah kebuntuan, tetapi Messi melakukannya dengan penuh menarik menerusi rembatan lencong untuk menghasilkan gol ke-44 musim ini.

Suarez membunuh semangat juang pelawat apabila meledak jaringan pada minit ke-55 sebelum menghasilkan gol kedua peribadinya pada masa kecederaan selepas Marc Bartra menanduk masuk gol ketiga Barca hasil sepakan sudut Xavi.

Ketika Barca bakal bertandang ke Sevilla esok, pengurus Luis Enrique melakukan enam perubahan ke atas pasukannya yang menang 1-0 ke atas Celta Vigo, Ahad lalu dengan Neymar serta Gerard Pique antara pemain yang direhatkan.

Hasilnya, skuad Enrique hampir menerima padah pada minit ke-15, tetapi rembatan penyerang Almeria Wellington Silva hanya tersasar beberapa inci daripada tiang gol.

Pedro Rodriguez hampir memberikan pendahuluan buat Barca, namun cubaannya hasil hantaran Messi turut tersasar manakala rembatan Xavi Hernandez pula menuju tepat ke arah penjaga gol Julian Cuesta.

Begitupun, Cuesta tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang jaringan Messi pada minit ke-33.

Suarez memastikan kemenangan ke-20 buat Barca dalam semua pertandingan menerusi gol kedua pasukannya sebelum Bartra melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan sudut Xavi.

Suarez melengkapkan kemenangan Barca apabila mudah menolak masuk hantaran lintang Pedro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:12 AM