BERGAMBAR kenangan bersama bekas guru, Sugiman.
BERGAMBAR kenangan bersama bekas guru, Sugiman.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Mendendangkan semula lagu sekolah selepas hampir 20 tahun meninggalkan alam persekolahan menjadi kenangan paling bermakna bagi bekas pelajar SMK Datuk Menteri (SMKDM), Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor.

Bertemakan ‘Welcome Home Reunion SMDM 1992-1996’, majlis penuh meriah itu mendapat sambutan memberangsangkan.

Projek alumni SMDM 1992-1996 inisiatif pentadbir aplikasi WhatsApp kumpulan itu yang ditubuhkan penaungnya, Norizah Nordin dan dibantu pengarah projek, Zulkifli Othman.

Berkonsepkan baju merah jambu, pertemuan kali pertama itu diadakan di Dewan Tertutup Pusat Pertanian Ayer Hitam, baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti acara senamrobik, sukaneka, cabutan bertuah dan karaoke suka-suka.

Bagi memeriahkan acara, aktiviti mewarna dan penyelesaian ‘puzzle’ untuk kanak-kanak diadakan.

Pertemuan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas guru sekolah itu, Sugiman Ngadino.

Kehadiran guru berkenaan mengejutkan bekas pelajar, sekali gus membuka ruang ucapan dan sesi fotografi bersama.

Zulkifli berkata, penganjuran program julung kali itu bagi mengeratkan silaturahim.

“Sudah lama kami menyimpan hasrat bertemu kembali, namun tidak berkesempatan atas faktor masa.

“Syukur dengan adanya aplikasi WhatsApp, pertemuan ini dapat direalisasikan,” katanya.

Menurutnya, tidak mudah untuk menghimpunkan alumni SMDM 1992-1996.

“Ini kerana ramai yang sudah berumah tangga dan menempuh alam kerjaya serta tinggal di luar Johor.

“Untuk menjejaki mereka, kami menggunakan konsep ‘rakan cari rakan’,” katanya.

Bagi menggerak aktiviti katanya, satu pertemuan diaturkan dengan mewujudkan jawatankuasa penganjur ketika sesi ‘ngeteh’ (minum petang).

“Selepas tertubuhnya kumpulan WhatsApp, kami mengadakan pertemuan di Kedai Nasi Ayam Sakinah milik rakan.

“Tidak sangka dengan idea yang kecil, kami dapat menganjurkan pertemuan alumni besar,” katanya.

Zulkifli berkata, bagi memperingati rakan-rakan yang kembali ke rahmatullah, mereka turut menyalurkan sumbangan ke tabung masjid berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 12:52 PM