FOTO ihsan pembaca
Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: “Lebih 10 pasangan menghubungi JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) Selangor membuat permohonan untuk menjadikan bayi itu sebagai anak angkat. Ini termasuk suami isteri yang menemui bayi berkenaan.

“Tapi, kami beritahu pada mereka bahawa perlu melalui prosedur terlebih dulu,” kata Timbalan Pengarah JKM Negeri Selangor, Wan Zarina Wan Salleh, ketika mengulas mengenai perkembangan bayi lelaki yang ditemui di masjid An Nur Bandar, Country Homes, Rawang, malam Rabu lalu.

Wan Zairan berkata, JKM akan memberi keutamaan kepada pemohon yang sudah berdaftar kepada pihaknya terutama mereka yang berkahwin dan tidak mempunyai anak.

“Untuk rekod, terdapat 226 pemohon yang berdaftar dengan JKM Selangor antara 2012 hingga 2014. Kebanyakan mereka sudah berkahwin dan tidak mempunyai anak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, petang tadi.

Menurutnya, bayi lelaki yang ditemui itu kini masih ditempatkan di Hospital Selayang untuk rawatan lanjut sehingga keadaannya benar-benar sihat.

“Bayi lelaki itu kemudiannya akan dibawa ke Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Cheras, di bawah perintah perlindungan sementara sehingga siasatan polis selesai.

“Dalam tempoh itu juga jika masih tiada keluarga kandung atau waris kepada bayi ini hadir dan menuntut bayi berkenaan, dia (bayi) akan ditempatkan di rumah kanak-kanak ini.

“Bayi ini kemudian barulah diserahkan sebagai anak pelihara mengikut prosedur ditetapkan JKM kepada mana-mana pasangan yang layak.

“Pihak hospital ada memaklumkan kepada kami mengenai perkembangan bayi berkenaan. Alhamdulillah kesihatannya baik dan JKM juga masih menunggu perkembangan seterusnya,” katanya.

Harian Metro, semalam, melaporkan bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui selamat di dalam beg kertas yang ditinggalkan di atas hud kereta di Masjid An Nur Bandar Country Homes, Rawang.

Bayi terbabit ditemui seorang lelaki berusia 64 tahun selepas menunaikan solat Isyak sebelum memaklumkan kepada jemaah masjid berhubung penemuan bayi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 9:11 PM